KOTA KINABALU, SABAH – Gelaran Sabah sebagai “kilang kuasa” pemain bola sepak wanita Malaysia akan ditaruhkan dalam Piala Borneo yang mengundang penyertaan negara dalam initiatif BIMP-EAGA pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita SAFA , Datuk Jelani Hamdan berkata, negeri ini telah lama menghasilkan pemain wanita yang berkualiti dengan menjuarai Piala Tun Sharifah Rodziah sebanyak 14 kali namun kategori itu masih kurang menonjol.
“Rata-rata pemain bola sepak wanita kebangsaan datang dari Sabah. Enam (6) wanita Sabah kini sedang bermain di peringkat kebangsaan dan 14 lagi telah dipilih untuk mewakili negara dalam Kejohanan Bolasepak Wanita AFC Piala Asia 2022 baru-baru ini…
“Rancangan kita untuk menghidupkan semula Piala Borneo yang sudah lama ditangguh akan dimulakan dengan wanita dan kalau ia mendapat sambutan bagus, kita akan teruskan dengan pemain lelaki,” kata Jelani yang juga Pengarah Sabah FC.
Mengulas lanjut, Jelani berkata Piala Borneo yang berasaskan konsep BIMP-EAGA akan melihat penglibatan negara Filipina yang merupakan sasaran utama, selain Sarawak, Brunei dan Kalimantan.
Beliau turut komited dalam memperkasakan kaum hawa lebih-lebih lagi selepas mengetuai Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah. Jelani melihat potensi mereka yang sebenarnya melebihi kelayakan kategori Amatur.

“Mereka belum diisytiharkan sebagai pemain separa profesional, tetapi kami telah membuat kontrak bersama pemain dengan tujuan penggajian…
“Ini juga merupakan penambah baikan untuk pasukan wanita kita supaya jasa mereka dihargai dan diperhebatkan lagi,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa pasukan bola sepak wanita Sabah yang masih di bawah naungan SAFA akan diserap ke dalam Sabah FC pada tahun hadapan.
“Tahun depan adalah masa sibuk buat kita semua…Kami juga bercadang untuk mengadakan Liga Bola Sepak Wanita pada waktu itu,” jelasnya.
Jelani yang juga Setiausaha Agung SAFA berkata pertarungan yang melibatkan kesemua 27 daerah di negeri ini akan dibahagikan kepada tujuh (7) atau lapan (8) zon untuk lebih menjimatkan kos.





