PKN Ringankan Beban Golongan Asnaf Di Sabah

PKN Ringankan Beban Golongan Asnaf Di Sabah

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Beban golongan asnaf di Sabah diringankan melalui pelbagai bantuan daripada Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN).

Selepas Kelantan, Sabah merupakan negeri kedua dan terkahir dalam Program Kembara Kasih Neelofa untuk tahun ini.

Timbalan Pengerusi PKN, Noor Razalina Noor Mohamad berkata, Sabah pemanfaat terbesar bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan nilai sumbangan sebanyak RM 300,000.

“Kawasan negeri Sabah adalah lebih besar berbanding Kelantan dan sasaran individu yang patut kami bantu adalah 5 sehingga 10 kali ganda,” katanya di majlis penyerahan bakul makanan di Masjid Taman Sri Rugading di sini kelmarin.

Salah seorang penerima, Salamah Thomas, 57, berjuang dengan kanser serviks Tahap 3 untuk seumur hidupnya sejak barah itu mula dikesan pada Mei 2005.

“Selepas menjalani pembedahan pembuangan rahim pada Okt 2005, kanser itu kembali pada awal tahun 2006…

“Saya akan berjumpa doktor di Hospital Likas setiap empat (4) bulan sekali jika tidak mengalami sakit dan makan ubat setiap hari,” katanya.

Razalina berbual bersama Salamah…

Beliau juga terpaksa menanggung kos makanan tambahan sebagai suri rumah bersuamikan pemandu lori. Katanya dengan sedikit rezeki, mereka mampu membesarkan enam (6) orang anak.

Dengan berterima kasih kepada PKN, Salamah berkata bakul makanan itu akan beliau berikan sebagai bantuan tambahan kepada sekeluarga anak yatim yang tinggal di blok yang sama.

“Kerana saya tahu ada yang lebih susah dan memerlukan dari saya,” katanya kepada wartawan sambil menahan sebak.

PKN telah mengagihkan sebanyak 5000 bakul makanan di Sabah tahun ini.

Melalui program itu, kira-kira 237 penduduk di Kampung Selembagun, Kota Kinabalu, juga akan menerima sebuah telaga air bawah tanah.

Menurut Razalina, selama ini penduduk kawasan itu hanya mendapatkan sumber air bersih berpuncakan tadahan hujan.

“Di situ juga kami juga telah menyediakan bilik pengurusan jenazah di Masjid Nur Iman kerana orang kampung tidak mempunyai tempat sesuai untuk membuat persediaan jenazah dalam keadaan mereka yang susah tanpa air bersih…

“Sebanyak 17 surau dan tiga (3) masjid di sekitar bandar Kota Kinabalu juga termasuk Pulau Mantanani telah dibaik pulih bagi keselesaan penduduk setempat untuk beribadah dan mendalami agama.

“Melalui Tabung Infaq Jumaat, pihak Pertubuhan juga membantu asnaf yang hilang punca pendapatan sebagai nelayan dengan memberi sumbangan bot enjin di Kampung Darau, Kota Kinabalu,” tambahnya.

Meskipun sudah mula menghulurkan bantuan bakul makanan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Razalaina berkata Program Kembara Kasih Neelofa baru bermula.

Menurutnya perancangan PKN bagi tahun 2022 di Sabah adalah pengagihan sebanyak 10,000 bakul makanan kepada penerima bersasar dan juga untuk membaiki surau, masjid dan madrasah di 1,000 lokasi.

Selain itu, melalui Tabung Infaq Pendidikan pula, PKN menyasarkan bantuan untuk pelajar seramai 1,000 murid sekolah dan institut pengajian tinggi awam.

“Program ini juga meruapakan kolaborasi bersama Kerajaan Negeri Sabah dan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu…

“Bagi program tahun hadapan kami mengambil kira nasihat dan pandangan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Yahya Hussin untuk menjalankan program yang terbaik di Sabah,” katanya.