TAWAU: Seorang lelaki tempatan yang bertindak mengamuk serta mengancam penduduk kampung berjaya ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam satu kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika anggota MPV sedang menjalankan rondaan rutin sebelum menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) berhubung seorang individu yang bertindak agresif di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sepasukan anggota MPV dengan bantuan dua lagi kenderaan peronda berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun.
“Hasil semakan menggunakan sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek merupakan individu dikehendaki polis berkaitan kes tipu yang dilaporkan di Putatan, tahun lalu.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa barangan berbahaya yang dipercayai digunakan semasa kejadian termasuk pemutar skru, bila pisau pemotong kertas, bila gunting serta sebatang besi.
“Kesemua barangan tersebut telah dirampas bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Tambah Jasmin, suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kes penipuan.
Dalam perkembangan sama, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak sendiri sekiranya berdepan individu agresif atau mencurigakan, sebaliknya segera menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan tindakan pnatas diambil demi menjamin keselamatan awam.






