KOTA KINABALU, SABAH – Usaha Kerajaan Pusat dalam memberi tumpuan kepada golongan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Wanita disambut baik oleh pihak Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Menterinya, Ir. Shahelmey Yahya berkata golongan sasar di bawah kementeriannya turut termasuk di dalam RMK-12 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’.
Menurutnya, sistem sokongan dan program-program yang bakal diwujudkan adalah amat baik dan perlu sejajar dengan jangkaan bahawa Malaysia akan kearah Negara Tua menjelang 2030 serta jumlah pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) yang direkodkan semakin bertambah.
“Kita menyambut baik pembentangan RMK-12. Selaku Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) negeri Sabah, di mana golongan sasar kementerian ini seperti warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal juga turut disentuh dalam RMK-12…
“Perancangan Kerajaan Pusat untuk memperbanyakkan system sokongan kepada warga emas, adalah selari dengan jangkaan bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2030 nanti apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berumur 60 tahun ke atas.
“Begitu juga dengan pendaftaran OKU yang meningkat dan usaha-usaha utk memperkasakan program-program yang berkaitan dengan OKU terutamanya dalam program keushawanan, karnival kerjaya juga diperkasakan”
“Juga dalam pembentangan RMK-12 ini, terus memberi penekanan terhadap peranan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan,” katanya ketika memberi kenyataan di sini sebentar tadi.
Shahelmey yang juga merupakan Exco Kesihatan Negeri Sabah, berkata perkhidmatan kesihatan akan lebih efisien dengan perancangan Kerajaan Pusat dalam RMK-12 untuk membina lebih banyak Klinik Kesihatan di negeri ini.
“Terlaksananya pembinaan klinik kesihatan yang lebih di negeri ini, maka perkhidmatan penjagaan kesihatan negeri Sabah akan dapat dipertingkatkan,” katanya.