Projek Naik Taraf Menara Jam Atkinson Dan Australian Place Dijangka Siap Pertengahan...

Projek Naik Taraf Menara Jam Atkinson Dan Australian Place Dijangka Siap Pertengahan 2025

0
SHARE
Jam
Lakaran rupa bentuk projek apabila siap nanti ( Sumber Foto: Ihsan DBKK )

KOTA KINABALU, SABAH – Projek Peningkatan Fizikal Kawasan Menara Jam Atkinson dan Australian Place dijangka akan siap dalam tempoh 18 bulan dari mana kerja dimulakan semula sejak 1 September 2023.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Junainah Abbie berkata projek berkenaan merupakan salah satu pakej Cadangan Menaiktaraf Kawasan Pusat Persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu, di bawah Koridor Pembangunan Sabah.

“Ianya dibiayai melalui peruntukan di bawah Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) di mana DBKK merupakan agensi pelaksana.

“Projek ini merangkumi tiga komponen iaitu pertama, menaiktaraf kawasan persekitaran Menara Jam Atkinson termasuk kerja-kerja landskap, pembaikan dan pembinaan tembok penahanan cerun serta penyediaan kemudahan asas seperti tandas awam.

“Tidak ada kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian dilakukan ke atas struktur Menara Jam Atkinson sedia ada.

“Kedua, ialah pembinaan laluan pejalan kaki ‘boardwalk’ dan ‘treetop walkway’ yang menghubungkan kawasan Menara Jam Atkinson dan Menara Pemerhatian di Signal Hill, ,anakala ketiga adalah kerja-kerja pembaikan Menara Pemerhatian di Signal Hill,” jelasnya dalam sebuah kenyataan.

Junainah berkata objektif utama projek berkenaan adalah untuk menaiktaraf kawasan persekitaran Menara Jam Atkinson dengan menyediakan kemudahan kepada pengunjung seperti ruang awam yang selamat dan selesa serta boleh dinikmati oleh semua golongan termasuk Golongan Kelainan Upaya (OKU) dan juga membina tembok penahan yang kekal dan sistem perparitan yang teratur serta meningkatkan pencahayaan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, pada ketika ini, kerja-kerja di tapak berkenaan adalah melibatkan kerja pembersihan yang minima dan penyediaan platform untuk membolehkan pembinaan laluan ‘boardwalk’ yang baharu di kawasan belakang balai polis.

“Kerja-kerja pembaikan menara pemerhatian di Signal Hill pula telah hampir siap dan dijangka akan diserahkan secara berfasa kepada DBKK,” katanya.