TENOM, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong dari BERSATU, Datuk Rubin Balang menafikan dakwaan beliau menjadi dalang kepada tindakan anaknya, Riduan Rubin bertanding sebagai calon bebas dan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Rubin berkata penyertaan Riduan dalam KDM adalah keputusan dirinya sendiri setelah mendapat tawaran daripada presidennya, Datuk Peter Anthony.
Menjelaskan perkara terbabit, pada 11 November lepas, Peter telah memanggil Riduan dan menawarkan beliau menjadi Ahli KDM sebelum hari pembuangan undi bagi mengelakkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.
“Saya difahamkan setelah Riduan dan penyokongnya bersetuju dengan tawaran itu, pihak Peter telah menghubungi saya dan meminta saya datang ke pejabat Parti KDM…
“Mereka telah bertanya adakah saya membantah Riduan menyertai KDM. Saya memaklumkan bahawa saya tidak mempunyai kuasa dan hak untuk membantah atau berbuat apa-apa.
“Ini memandangkan Riduan bukan lagi ahli BERSATU kerana telah meletak jawatan daripada parti, sebelum hari penamaan calon lagi…
“Selepas pertemuan singkat itu, saya kemudiannya terus keluar dan beredar dari pejabat KDM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas dakwaan beliau telah melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Dalam pada itu, Rubin rasa kesal terhadap tindakan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga meminta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengambil tindakan terhadap dirinya termasuk memecatnya daripada jawatan GLC dalam kerajaan.
Katanya, Bung harus bersikap adil sebelum membuat tuduhan tanpa fakta sebenar disamping turut menyatakan tiada larangan mana-mana individu untuk bertanding dalam PRU.
“Bung sepatutnya sedar bahawa adalah tidak adil untuk melarang mana-mana pihak yang layak dan berminat untuk bertanding dalam PRU15 kerana ini adalah negara demokrasi…
“Tindakan dan keputusan Riduan bertanding calon bebas adalah kehendak dirinya dan penyokongnya. Beliau berhak menentukan masa depan dan perjuangan politiknya.
“Saya berharap Bung yang matang dalam politik agar tidak mudah terpengaruh oleh laporan tidak berasas oleh Jamawi Jaafar (Calon BN Parlimen Tenom) yang sengaja mahu menjejaskan nama baik saya,” katanya.