TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Syed Ahmad Syed Abas, berdepan saingan sengit apabila pertandingan di kerusi DU Balung menyaksikan persaingan 11 penjuru pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Syed Ahmad, 44, merupakan calon muka baharu daripada GRS dan anak kepada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Tan Sri Syed Abas Syed Ali.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Sains Malaysia (USM), serta berpengalaman sebagai jurutera dan Pengarah Urusan sebuah syarikat tempatan.
Di peringkat parti, beliau kini memegang jawatan Naib Ketua Bahagian GRS Balung dan dianggap antara tokoh profesional muda yang diketengahkan gabungan itu.
Peluangnya akan diuji dalam saingan besar yang turut membariskan calon daripada pelbagai parti dan individu bebas, menjadikan Balung antara kerusi paling kompetitif pada pilihan raya kali ini.
Syed Ahmad, calon nombor 1 akan dicabar Norazizah Pelari @ Palari (Rumpun), Erwan Palette (BN), Chee Kheng Moi (StarSabah), Rosdiansa Mohd Noor (PPRS), Ahmad Awang (PBK), Datu Ugis Datu Pula (PIS), Munzier Mahamud (PN), Frank Salazar @ Franco (Warisan), Hartono Muhamad Juno (Bebas) dan Shafie Hassan (Bebas).
“Syukur ini pertama kali saya bertanding dalam pilihan raya. Saya sifatkan 11 penjuru lebih ramai lebih meriah.
“Jadi saya berharap dapat berusaha dengan lebih lagi supaya GRS menang pada pilihan raya kali ini,” katanya.
Kerusi DU Balung terus muncul antara kawasan paling kompetitif di Sabah berdasarkan keputusan dua pilihan raya terdahulu, dengan pola undian yang kerap berubah antara parti-parti utama.
Pada PRN 2018, calon Warisan, Osman Jamal, memenangi kerusi tersebut dengan 4,887 undi, hanya berbeza 174 undi daripada pencabarnya, menjadikan Balung antara kerusi dengan majoriti paling tipis pada pilihan raya itu. Kadar keluar mengundi turut tinggi, melebihi 84 peratus.
Bagaimanapun, corak itu berubah pada PRN 2020 apabila kerusi tersebut berpindah tangan kepada calon Barisan Nasional, Hamild Awang, yang meraih 3,524 undi, bersamaan 43.59 peratus undi sah. Pertandingan ketika itu turut menyaksikan Warisan kembali memberi saingan kuat melalui calon Andi Rus Diana yang memperoleh 2,944 undi.
Keputusan dua penggal ini mengesahkan reputasi Balung sebagai kerusi “swing” yang tidak berpihak kekal kepada mana-mana gabungan, menjadikannya salah satu medan pertarungan yang dijangka mendapat tumpuan besar pada pilihan raya negeri akan datang.






