Pusat Latihan Komuniti YADIM Bakal Beroperasi Di Tuaran

Pusat Latihan Komuniti YADIM Bakal Beroperasi Di Tuaran

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar menerima cenderamata daripada Hasanuddin (kiri) sambil disaksikan Sainuri (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Islamiah Malaysia (YADIM) bakal mewujudkan Pusat Latihan Komuniti YADIM di Sabah.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata lebih kurang RM500,000 diperuntukkan kepada pusat tersebut yang akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini di Tuaran.

“Pembinaan pusat komuniti tersebut menerima dana bantuan daripada ‘Rabitah Alam Islami’ sebuah Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada kerajaan Arab Saudi yang disalurkan kepada YADIM.

“Matlamat utama pusat ini adalah bagi melahirkan modal insan yang lebih berkualiti melalui program-program keagamaan anjuran YADIM dengan kerjasama agensi-agensi agama di negeri ini.

“Pusat ini akan beroperasi sebagai pusat latihan keagamaan khususnya kepada saudara-saudara baru serta pusat tarbiah bagi masyarakat Islam untuk mendalami ilmu keagamaan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.

Mengulas lanjut tentang pusat tersebut, Hasanuddin yang juga mantan Ahli Parlimen Hulu Langat berkata pusat tersebut akan menempatkan ruang pejabat, pusat latihan dan asrama bagi kemudahan para petugas, penceramah serta peserta-peserta kursus.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Sainuri Yahmin serta Pengarah YADIM Sabah, Ramlee Daud. — JABATAN PENERANGAN SABAH