KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Bandau, Datuk Redonah Bahanda, menegaskan bahawa perbezaan parti politik dalam keluarganya bukanlah isu yang harus memecahbelahkan, sebaliknya mencerminkan kematangan berpolitik dalam masyarakat hari ini.
Timbalan Ketua Wanita GRS itu berkata, hubungan kekeluargaan perlu sentiasa dipelihara meskipun pilihan politik tidak sama.
“Silaturahim itu lebih utama. Politik boleh berbeza, tapi kasih keluarga jangan putus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di sini.
Dalam PRN Sabah ke-17 kali ini, dua abangnya – Datuk Wetrom Bahanda dari parti KDM dan Verdon Bahanda – turut dijangka bertanding di kawasan berbeza, menjadikan keluarga itu antara tumpuan pemerhati politik.
Redonah turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada lebih ramai calon wanita dalam barisan GRS.
“Ini bukti GRS menghargai suara wanita dan memberi peluang untuk kami terus berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.
PRN Sabah ke-17 dijadual berlangsung pada 29 November 2025, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.






