RM60 JUTA UNTUK BINA FASA 2 IPDAS KENINGAU: KM HAJIJI

RM60 JUTA UNTUK BINA FASA 2 IPDAS KENINGAU: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji dan tetamu khas lain bergambar bersama para penerima anugerah khas sempena Majlis Istiadat Konvokesyen ke 18 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau di Dewan Tun Sakaran ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KENINGAU, SABAH – Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk pembinaan fasa ke-3 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau bagi menampung pertambahan pelajar seramai 300 orang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembinaan yang sedang berjalan itu dijangka siap pada Mac 2026, menjadikan kapasiti sebenar mahasiswa yang boleh ditampung oleh IPDAS Kampus Keningau, kepada seramai 700 orang.

“Saya yakin, dengan pertambahan jumlah mahasiswa itu nanti, IPDAS akan dibekalkan dengan para pensyarah dan tenaga kerja yang terlatih dan mencukupi, bagi memastikan projek ini bukan sahaja mampu memberi kemudahan infra yang lebih kondusif kepada para mahasiswa dan warga kerjanya, bahkan mampu melonjakkan lagi tahap kualiti pendidikan di Sabah.

“Saya amat mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengambil berat soal menaiktaraf kemudahan pendidikan di Sabah, khususnya IPDAS”, katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-18,Tahun 2024 di Dewan Tun Sakaran, IPDAS, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.

Katanya, kerajaan negeri mempelawa para pelabur datang dan melabur di Sabah dengan tujuan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

Menurutnya, ini juga mendedahkan anak-anak tempatan kepada berbagai jenis latihan, termasuk latihan kemahiran, disamping menggalakkan pemindahan teknologi tinggi untuk dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini.

“Ini sebenarnya merupakan aktiviti ke arah pembangunan modal insan, disamping pembangunan sektor ekonomi negeri seperti yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri sekarang,” katanya.