KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Robert Tawik, menyeru ahli serta penyokong parti itu agar terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, demi mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan negeri menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah akan datang.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Bingkor itu berkata, walaupun beliau menghormati keputusan STAR untuk bertanding secara solo pada PRU akan datang, keutamaan kini ialah memastikan kesinambungan kestabilan politik yang membawa kemajuan kepada Sabah sejak penubuhan kerajaan GRS pada 2020.
“Kestabilan yang dikecapi lima tahun lalu membawa banyak kemajuan kepada Sabah. Rakyat tidak boleh mempertaruhkan masa depan negeri ini kepada ketidaktentuan baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Robert berkata, sebelum penubuhan GRS, Sabah pernah berdepan suasana politik tidak menentu, namun keadaan kembali stabil apabila parti-parti tempatan bersatu di bawah satu gagasan.
“Kestabilan itu membolehkan kerajaan negeri merangka dasar pembangunan lebih tersusun menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta menarik pelaburan besar hasil kepimpinan berhemah Datuk Seri Hajiji,” katanya.
Beliau menafikan dakwaan bahawa STAR ‘dibuang’ daripada GRS, sebaliknya menjelaskan keputusan keluar daripada gabungan itu dibuat secara sukarela oleh kepimpinan parti berkenaan.
“Kita perlu bercakap berdasarkan fakta. GRS tidak membuang STAR, sebaliknya STAR memilih untuk keluar dan bertanding secara solo. Namun ramai ahli akar umbi STAR masih menyokong dasar kerajaan GRS kerana terbukti membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.
Robert turut memuji usaha kerajaan negeri memperkukuh pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan projek kecil luar bandar, bantuan pertanian serta naik taraf infrastruktur asas seperti jalan, air dan elektrik yang memberi kesan langsung kepada rakyat pedalaman.
“Di kawasan seperti Bingkor dan pedalaman Keningau, banyak projek infrastruktur kini dapat dilaksanakan hasil kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah kerajaan GRS,” katanya.
Beliau yakin rakyat Bingkor dan penyokong STAR yang mengutamakan kestabilan akan terus bersama GRS demi masa depan Sabah yang lebih makmur.
“Saya percaya rakyat tahu menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini. Sabah perlu terus maju di bawah kerajaan GRS dan kepimpinan Datuk Seri Hajiji,” katanya.
 
             
	





