SHAH ALAM – Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Isnin, atas tuduhan menerima suapan RM1,500 daripada seorang perunding sebagai upah bagi setiap kursus sukan yang dijalankan, September tahun lalu.
Bagaimanapun, Noor Mohd. Syahidami Mohammad Saaid, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh, lapor Kosmo Online.
Mengikut pertuduhan, Noor Mohd. Syahidami didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM1,500 daripada seorang perunding, Roslizawati Mustaffa Kamal sebagai upah bagi setiap kursus yang dijalankan oleh tertuduh dengan alasan bahawa wang itu untuk kegunaan lembaga sukan berkenaan.
Perbuatan tersebut dilakukan di hadapan sebuah universiti swasta di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 6.49 petang pada 14 September tahun lalu.
Tertuduh yang juga setiausaha di Lembaga Sukan TUDM didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail menawarkan kos jaminan tertuduh berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Harjinder Singh memohon pengurangan kos jamin kerana tertuduh mempunyai tiga orang anak berusia empat hingga 11 tahun dan telah memberikan kerjasama penuh dengan SPRM sepanjang tempoh dia ditahan serta telah berkhidmat selama 20 tahun dengan pasukan beruniform itu.
Rozilah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan juga mengarahkan tertuduh melaporkan diri pejabat SPRM Selangor setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 November depan.