Sabah Akan Wujudkan Sekretariat Nusantara Mahrajan, Khat

Sabah Akan Wujudkan Sekretariat Nusantara Mahrajan, Khat

0
SHARE
Arifin
Arifin ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Sabah akan mewujudkan Sekretariat Nusantara Mahrajan dan Khat yang menghimpunkan pencinta khat Asean.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata Perbincangan dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan negara-negara Asean akan diadakan pada tahun ini bagi melancarkan Sekretariat Nusantara Mahrajan dan Khat.

“Melalui Sekretariat Mahrajan Khat Nusantara, setiap negara akan ada sekretariatnya dan kita di Sabah menjadi pusat untuk pelaksanaan program-program pengembangan, pemeriksaan, bengkel dan seminar khat.

“Ini termasuklah mahrajan kita untuk memudahkan urusan, pemakluman dan berkongsi ilmu dalam bidang seni kaligrafi ini.

“Sekretariat akan kita wujudkan selepas Hari Merdeka nanti dan diletakkan di bawah Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Tugas-Tugas Khas,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Penangguhan Mahrajan Persuratan Dan Kesenian Islam Nusantara, Sabah Malaysia Kali Ke-12 pada Ahad.

Ariffin turut memaklumkan beberapa program tambahan telah diadakan tahun ini termasuk program bersama belia, pertemuan penulis khat sedunia dan pelestarian seni budaya Islam iaitu pertandingan selawat serta beduk yang sangat penting untuk generasi akan datang.

“Dari sudut penyertaan pertandingan (100 peserta) dan kedatangan ke Membakut juga bertambah khususnya daripada Indonesia, Semenanjung Malaysia ada beberapa buah negeri yang hadir, penulis-penulis khat mereka.

“Ini satu perkembangan yang baik dan seperti mana yang saya nyatakan tadi, kita akan wujudkan Sekretariat Nusantara untuk mahrajan dan khat,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Huda Purnawadi, 33 dari Indonesia telah dinobatkan johan Pertandingan Khat Spontan Nusantara 2024 manakala juara kategori kebangsaan dimenangi peserta dari Kedah, Muin Asymawi Muzammil Soliheen,26.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Aminah Awang Besar dan Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki. — JABATAN PENERANGAN SABAH