PUTATAN: Dewan Sri Putatan mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya menjadi gelanggang rasmi Pasukan Futsal Sabah FA dalam saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1, menyaksikan Sabah FA mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas TOT United.
Sabah membuka jaringan pada minit ke-14 hasil rembatan deras pemain import, Vitor Manoel Da Silva, yang kemudiannya menggandakan kelebihan pasukan pada minit ke-7.
TOT United cuba bangkit pada separuh masa kedua dan merapatkan jurang menerusi sepakan percuma Mohamad Sufri Shamil pada minit ke-4. Namun, Igor Paulo Silva pantas membalas hanya seminit kemudian, menjadikan kedudukan 3-1.
TOT United terus memberi tekanan dan menjaringkan gol kedua melalui Muhammad Nurasyraaf seminit sebelum tamat permainan, namun Sabah kekal utuh untuk mengekalkan kemenangan 3-2 di hadapan penyokong sendiri.
Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Pengerusi Futsal dan Bola Sepak Pantai SAFA, Muhd Rafiuddin Gulistan.
Dengan kemenangan ini, Sabah FA kini berada di kedudukan keempat liga dan bakal berdepan KL City FC pada 31 Mei, juga di Dewan Sri Putatan.






