Sabah Perlu Tampil Pelan Ekonomi Sesuai Potensi Borneo 

Sabah Perlu Tampil Pelan Ekonomi Sesuai Potensi Borneo 

0
SHARE
Ewon
ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick ( Sumber Foto: Ihsan pejabat ADUN Kadamaian )

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan negeri perlu tampil dengan satu pelan perancangan ekonomi sesuai dengan potensi yang ada di Borneo.

Beliau berkata, ini juga sejajar dengan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) Indonesia di Kalimantan, Borneo, yang dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negeri Sabah.

“Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri Sabah agar tampil dengan satu pelan rancangan ekonomi yang progresif untuk dikemukakan dan dituntut daripada Kerajaan Persekutuan terutama dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030.

“Jika Indonesia sedang membangunkan IKN di Kalimantan, manakala Thailand pula mulai bercakap membina terusan kapal mereka.

“Maka kita di Sabah perlu tampil kompetitif dalam perancangan potensi ekonomi masa depan terutama aktiviti perdagangan yang aktif di Laut Sulu dan aktiviti perhubungan udara Borneo yang rancak di Sabah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas usul Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Haji Mahirudin, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Ewon berkata, kerajaan Indonesia yang sedang rancak membangunkan Ibu Kota Nusantara di Kalimantan, Borneo, adalah pengiktirafan mereka kepada potensi yang amat besar di Pulau Borneo.

“Saya menjangkakan mereka akan mulai berpindah ke IKN pada tahun ini juga.

Dalam hubungan ini, sudah tiba masanya Kerajaan Sabah tampil dengan satu rancangan “dasar pandang ke Timur dalam negara” iaitu membangunkan Sabah (dan Sarawak) sebagai hub ekonomi Malaysia yang Baharu,” katanya.