KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan Program Mensejahterakan Ekonomi Penternak Kambing Sabah (MEPKAS) sebagai usaha menarik minat graduan dan golongan belia menceburi sektor penternakan secara bersepadu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata program itu akan dilaksanakan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) dengan tumpuan kepada pengagihan ternakan kambing serta peralatan sebagai modal permulaan kepada penternak, khususnya belia.
Beliau berkata, pelaksanaan MEPKAS adalah susulan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka bagi mewujudkan program berimpak tinggi yang mampu menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi belia luar bandar melalui sektor penternakan.
“Melalui MEPKAS, bantuan ternakan dan peralatan akan disalurkan bagi membantu penternak memulakan operasi dengan lebih tersusun dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata DVS Sabah turut akan menganjurkan kursus penternakan secara percuma di Pusat Pengurusan Veterinar Tuaran yang terbuka kepada semua penternak dan bakal penternak bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran teknikal.
Selain itu, katanya, DVS Sabah juga menyokong pelaksanaan Program Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang menyediakan geran berbentuk barangan bernilai sehingga RM30,000 kepada belia berusia 18 hingga 40 tahun, dengan DVS Sabah bertindak sebagai agensi pelaksana yang memantau dan memberi bimbingan teknikal bagi memastikan projek berdaya maju.






