Sabah Rancang Bina SMAN Berkonsep AI, Perkukuh Pendidikan Islam – Ketua Menteri

Sabah Rancang Bina SMAN Berkonsep AI, Perkukuh Pendidikan Islam – Ketua Menteri

0
SHARE

TAWAU: Kerajaan Negeri merancang membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) di kawasan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung sebagai langkah strategik memperkasa pendidikan Islam yang seimbang antara kekuatan rohani, ilmu dan kemajuan teknologi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perancangan itu melibatkan baki tanah seluas kira-kira 20 ekar di kawasan SAN Apas Balung dan akan diselaraskan menerusi kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Beliau berkata, komitmen berkenaan mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong pemerkasaan pendidikan Islam serta pembangunan institusi agama secara berterusan.

“Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihya Ramadan ‘Malam Mencari Kekasih’ di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, Ahad.

Hajiji menegaskan, kekuatan sesebuah negeri tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal atau pencapaian ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan kepada akhlak rakyat, kekuatan iman dan kesuburan ilmu yang berteraskan nilai agama.

Menurut beliau, pembangunan pendidikan Islam merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembinaan modal insan yang seimbang dari segi rohani, intelek dan sahsiah, selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras kemajuan negeri.

Pada sebelah pagi, Ketua Menteri turut melawat dan merasmikan SAN Apas Balung yang mencatat sejarah sebagai SAN pertama di Malaysia di bawah kelolaan JHEAINS yang memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan AI.

Beliau berkata, inisiatif itu diperkukuh dengan pemasangan kemudahan Smart White Board di bilik darjah bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif, dinamik dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Hajiji menegaskan, pendekatan berkenaan membuktikan pendidikan agama mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam.

“Di sinilah anak-anak kita bukan sahaja diasuh dengan ilmu agama dan al-Quran, tetapi turut dipersiapkan dengan kemahiran teknologi serta pemikiran kritis untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak umat Islam menjadikan bulan Ramadan sebagai medan muhasabah diri dan titik perubahan untuk meningkatkan amal ibadat serta memperkukuh keharmonian dan kestabilan sosial di negeri ini.