Sabah Rasmi Miliki 25 Peratus Pegangan Dalam PETRONAS PFLNG 3

Sabah Rasmi Miliki 25 Peratus Pegangan Dalam PETRONAS PFLNG 3

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah secara rasmi telah memformalisasikan pengambilalihan 25 peratus ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, menandakan satu lagi kejayaan penting dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan syarikat petroleum nasional, PETRONAS.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah tersebut bukan sahaja memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan negeri Sabah, malah membuka potensi besar bagi kerjasama masa depan yang akan membawa manfaat lebih luas kepada ekonomi negeri.

Menurut beliau, hubungan baik yang terjalin antara Sabah dan PETRONAS kini semakin produktif hasil daripada pendekatan berteraskan rundingan serta semangat kerjasama yang saling menguntungkan.

“Langkah ini bukan sahaja akan memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan negeri Sabah, tetapi juga akan membuka potensi bagi kerjasama seumpama ini pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sabah, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), menandatangani perjanjian muktamad dengan PETRONAS LNG Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS, bagi memformalisasi pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, yang turut dikenali sebagai ZLNG.

Penandatanganan perjanjian tersebut merupakan susulan kepada pemeteraian Kepala Perjanjian (Heads of Agreement) yang disaksikan oleh Ketua Menteri dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, di Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.

Projek PETRONAS PFLNG 3 kini sedang membangunkan kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (FLNG) bernilai USD3.1 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Kemudahan berteknologi tinggi ini dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun 2027 dengan kapasiti pengeluaran sebanyak dua juta tan setahun (2.0 MTPA).

Pelaburan strategik ini melengkapkan portfolio tenaga Sabah di bawah SMJ Energy, yang kini aktif dalam pelbagai bidang tenaga termasuk huluan, hiliran dan petrokimia.

Syarikat itu kini turut memiliki 50 peratus penyertaan dalam Samarang Production Sharing Contract, 10 peratus ekuiti dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd, serta 25 peratus ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd yang mengendalikan loji petrokimia SAMUR.

Selain itu, SMJ Energy juga memiliki sepenuhnya Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang menguruskan aset FPSO dan FSO bagi operasi pengeluaran minyak dan gas di perairan negeri ini.

Dalam masa sama, SMJ Energy turut memegang hak “free carry” dan “back-in rights” dalam beberapa blok penerokaan strategik iaitu SB409 (20 peratus), SB403 (20 peratus), SB306A (15 peratus) dan SB306B (15 peratus).

Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh pemilikan Sabah dalam sektor tenaga dan memastikan manfaat hasil bumi negeri dapat dikongsi secara adil serta mampan demi kesejahteraan rakyat.