SABAH SAMBUT HARI KEBANGSAAN, HARI SABAH PADA 31 OGOS: KM HAJIJI

SABAH SAMBUT HARI KEBANGSAAN, HARI SABAH PADA 31 OGOS: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Negeri 2024 di perkarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) - ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat bermakna kerana Sabah akan turut meraikan bersama Hari Sabah setelah kerajaan negeri pada Jun lalu mewartakan untuk memperingati hari bersejarah itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap tiada kekeliruan khususnya dalam konteks penganjuran Hari Kebangsaan dan Hari Sabah kerana bagi negeri ini, Hari Sabah yang akan diraikan pada 31 Ogos ini akan menjadi titik penyatuan rakyat berbilang kaum untuk bersama membangunkan negeri ini.

Katanya, Hari Sabah juga memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah pada 31 Ogos 1963 dan bermulanya perjalanan bersama untuk pemerintahan sendiri dan membentuk negara Malaysia.

“Kita mahu rakyat khususnya generasi muda lebih mengetahui sejarah bukan saja mengenai sambutan Hari Kebangsaan tetapi juga Hari Sabah.

“Namun, yang lebih penting ialah semangat kita untuk terus bersama-sama membangunkan dan memajukan negeri ini dan negara kita yang tercinta,” katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Negeri 2024 di perkarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di sini, hari ini.

Katanya, usaha kerajaan negeri membawa pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri ini, beberapa sektor penting dalam agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya terus menjadi keutamaan.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada modal insan khususnya generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang, agar berusaha gigih dalam mempertahankan kedaulatan negara dari terus diganggu gugat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, menggambarkan komitmen kita untuk terus membangunkan sebuah masyarakat yang adil dan sejahtera.