KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak hanya menuntut hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tidak mengambil hak mana-mana pihak lain, tegas Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut beliau, tuntutan kedua-dua negeri Borneo itu adalah berasaskan janji serta perjanjian yang telah dipersetujui sejak pembentukan Malaysia, termasuk tuntutan Sabah untuk mendapatkan semula 40 peratus hasil negeri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Azrul berkata beliau mengikuti episod bual bicara Keluar Sekejap yang membangkitkan kebimbangan mengenai beban kewangan kerajaan Persekutuan sekiranya tuntutan Sabah dan Sarawak dipenuhi.
Katanya, kebimbangan itu ada asasnya memandangkan sebelum ini kerajaan Persekutuan banyak bergantung kepada hasil dari kedua-dua negeri untuk pembangunan negara.
Bagaimanapun, jelasnya, pendirian Sabah dan Sarawak bukanlah untuk merugikan mana-mana pihak, tetapi hanya menuntut apa yang telah dijanjikan.
“Kita tidak mengambil hak sesiapa, kita hanya mahukan hak negeri dikembalikan. Itu sahaja,” katanya.
Beliau menambah bahawa keluasan geografi, cabaran demografi dan jurang infrastruktur yang ketara antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung menjadikan tuntutan tersebut lebih munasabah.
Azrul turut menegaskan bahawa perjanjian yang dimeterai oleh pemimpin terdahulu merupakan “kontrak moral” yang harus dihormati dan dilaksanakan secara adil demi memastikan semangat sebenar Persekutuan dipenuhi.
Menurutnya, sudah tiba masanya formula pengagihan kekayaan negara dikaji semula agar selaras dengan keperluan semasa serta acuan asal pembentukan Malaysia.






