SELANGOR; Sebuah syarikat pelancongan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah atas kesalahan gagal menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen ketika menjalankan aktiviti pelancongan dalam negara.
Coachliner 707 Travel & Tours Sdn. Bhd. disabitkan kesalahan mengikut Peraturan 6(1)(i)(iii) dibaca bersama Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992, selepas syarikat itu diwakili sebagai Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah di hadapan Majistret Chai Guan Hock pada 1 Disember lalu.
Mahkamah turut memerintahkan syarikat berkenaan membayar denda RM50,000, dan sekiranya gagal menjelaskannya, OKS boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan semalam menegaskan bahawa kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 adalah kesalahan jenayah serius, terutama yang membabitkan penggunaan pemandu pelancong tidak berlesen kerana boleh menjejaskan imej serta keselamatan industri pelancongan negara.
MOTAC turut memaklumkan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat atau individu yang melanggar undang-undang berkaitan.






