Penyelarasan Parti Jadi Fokus Kepimpinan Baharu UMNO Sabah – Jafry

Penyelarasan Parti Jadi Fokus Kepimpinan Baharu UMNO Sabah – Jafry

0
SHARE
Datuk Jafry Ariffin...

KOTA KINABALU: Penyelarasan parti akan menjadi fokus utama kepimpinan baharu UMNO Sabah, kata Pengerusinya, Datuk Jafry Ariffin dalam satu kenyataan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan diberikan kepada barisan kepimpinan yang baharu dilantik.

“Saya terlebih dahulu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan dan amanah yang diberikan melalui pelantikan barisan kepimpinan baharu Badan Perhubungan UMNO Sabah,” katanya.

Menurut beliau, pelantikan tersebut merupakan amanah yang akan dipikul bersama semangat perpaduan untuk memperkukuh kedudukan parti di Sabah, sambil mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohd Hasnol Ayub dan Samasuddin Yusop atas pelantikan masing-masing.

“Fokus utama kami adalah memastikan penyelarasan parti dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, memperhebat gerak kerja di setiap peringkat, dan memperkukuh hubungan dengan rakyat melalui peranan UMNO sebagai parti yang sentiasa komited memperjuangkan kepentingan negeri Sabah,” katanya.

Jafry menegaskan kepentingan untuk memperkukuh pentadbiran dan membina Sabah melangkaui perbezaan politik demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri.

“Saya menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat agar terus bersatu, memperkukuh saf, dan memberikan sokongan padu demi memastikan UMNO Sabah menjadi wadah politik yang berkesan, dihormati serta relevan dalam membela rakyat dan mendukung kerajaan negeri,” katanya.