SABAH SASAR CAPAI 42 PERATUS ENROLMEN PELAJAR DALAM STEM MENJELANG 2025

SABAH SASAR CAPAI 42 PERATUS ENROLMEN PELAJAR DALAM STEM MENJELANG 2025

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor...

KENINGAU, SABAH – Sabah mensasarkan mencapai kadar enrolmen semasa pelajar dalam subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebanyak 42 peratus menjelang tahun 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pada masa ini Sabah yang merekodkan enrolmen semasa pelajar STEM sebanyak 28 peratus, berada di tempat kedua terbelakang dalam kedudukan nasional.

Beliau berkata, isu enrolmen merupakan salah satu isu akar umbi yang perlu diselesaikan dan dengan momentum program yang berterusan oleh pihak kerajaan serta sokongan masyarakat termasuk ibu bapa, Sabah dijangka akan mencapai sasaran sebanyak 42 peratus kadar enrolmen menjelang tahun 2025.

“Usaha ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk memberikan pendidikan terbaik kepada rakyat Sabah, khususnya berkaitan STEM dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Sains Keningau di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau pada Selasa.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey G.Kitingan.

Hajiji berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat berkaitan dengan tahap kesiapsediaan golongan muda mendepani arus perubahan global yang sukar dijangkakan, terutama berkaitan trend pekerjaan masa depan kerana menjelang tahun 2027 dijangkakan 69 juta pekerjaan baharu berkaitan STEM akan dicipta, manakala 83 juta pekerjaan sedia ada akan dihentikan.

“Pelbagai usaha pembudayaan sains juga telah dilaksanakan melibatkan kerjasama bersama rakan strategik daripada negeri dan persekutuan serta agensi dalam dan luar negara dengan objektif untuk memupuk pelajar meminati subjek STEM seterusnya cenderung untuk memilih laluan kerjaya dalam bidang tersebut.

“Dengan pendidikan yang terbaik termasuk menguasai sains, teknologi dan inovasi, kita berupaya untuk mengubah kualiti hidup rakyat yang pada akhirnya akan menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah.

“Ia juga sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan,” tegasnya.

Katanya, penubuhan pusat sains sebagai hab ilmu yang interaktif, inspiratif, dan inklusif bagi membawa pembelajaran sains kepada tahap yang lebih tinggi, merupakan satu inisiatif progresif kerajaan yang bertujuan melonjakkan arus pembangunan ilmu pengetahuan dan teknologi di negara ini khususnya di Sabah.

Menurutnya, ia merupakan satu langkah yang dilaksanakan dengan tekad dan visi yang tinggi oleh kerajaan, memandang kepada keperluan mendesak untuk memajukanpendidikan sains dan teknologi di kalangan rakyat.

Hajiji berkata, Pusat Sains Keningau yang bernilai RM3.0 juta melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12, bukanlah semata-mata sebuah bangunan, ia adalah simbol kecekalan dan daya kreativiti dalam mengajar sains melalui pendekatan yang tidak konvensional, sebaliknya konsep hands-on, minds-on, hearts-on yang diperkenalkan merupakan satu bentuk revolusi dalam pengajaran dan pembelajaran sains.

Usaha ini untuk mencetuskan minat dalam kalangan pelajar, membawa mereka kemdalam aliran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).

Katanya, penubuhan pusat sains ini juga adalah usaha kerajaan untuk memberi peluang sama rata kepada pelajar dan masyarakat di pedalaman atas.