KUNAK, SABAH – Usaha memperkasa sektor pelancongan di daerah ini akan diperhebatkan lagi menerusi pelbagai program yang kini giat dijalankan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menerusi Lembaga Pelancongan Sabah.
Sehingga kini, pelbagai usaha yang dilaksanakan termasuk memberi seminar dan latihan kemahiran dari segi kesedaran, keselamatan, dan pengurusan kepada persatuan-persatuan pelancongan, pengusaha pelancongan desa, dan komuniti setempat yang terlibat dalam mengusahakan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing.
Bagi melengkapi usaha itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin juga telah mengadakan sesi dialog bersama Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Kunak, dan semua pengusaha pelancongan di daerah itu semalam.

Tambahnya, Kementerian juga bersedia untuk menawarkan program upskilling dan reskilling pelancongan kepada penduduk di daerah itu agar mereka mampu bersaing secara signifikan bukan saja di negeri Sabah malah di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, banyak tempat menarik di daerah itu namun mungkin agak kurang dari segi promosi…
Antara destinasi pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan termasuk Gua Madai, Sungang Hot Spring, Binuang Mud Pool, Darvel Lagoon Kampung Hampilan dan banyak lagi.
“Kita mahu memastikan semua destinasi menarik di Kunak akan lebih dikenali oleh pelancong luar seterusnya usaha untuk mempromosi oleh Lembaga Pelancongan Sabah akan terus dipertingkatkan”.
Jafry yakin Kunak juga akan menjadi antara pilihan destinasi pelancongan yang terbaik di Sabah sekaligus menyumbang kepada pendapatan komuniti tempatan dan amnya ekonomi negeri Sabah.





