SEMPORNA, 8 Oktober — Masalah kebersihan dan pengurusan sampah yang berlarutan di daerah Semporna mencerminkan kegagalan pimpinan terdahulu dalam membawa perubahan sebenar kepada rakyat.
Ketua Bahagian Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) N65 Senallang, Mohd Rashdey Sabardin berkata, isu sampah telah lama menjadi rungutan utama penduduk dan pelancong, namun tidak pernah ditangani secara berkesan walaupun Semporna sering dijadikan mercu kebanggaan politik pihak terdahulu.
“Setiap kali pelancong datang, kita malu tengok longgokan sampah di tepi jalan dan di kawasan perkampungan atas air.

“Masalah ini bukan baru berlaku, ia berlarutan sejak bertahun-tahun kerana tiada perancangan dan tindakan tegas daripada pihak yang memegang kuasa sebelum ini,” katanya kepada Sabah News hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan khas “Indah di Pulau, Kotor di Darat: Semporna Belum Sempurna” yang disiarkan baru-baru ini.
Untuk rekod, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mula diberi mandat oleh rakyat Semporna sejak tahun 1995 dan sehingga kini kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan itu. Namun, tiga dekad berlalu, isu asas seperti kebersihan bandar, pengurusan sampah serta komuniti tanpa dokumen masih belum berjaya diselesaikan.
Dalam kerjaya politiknya di peringkat Persekutuan, Mohd Shafie pernah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada tahun 2004. Beliau kemudian mengetuai beberapa kementerian termasuk Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, sebelum memegang portfolio Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari tahun 2009 hingga 2015. Julai 2015 menjadi titik penting apabila beliau digugurkan daripada kabinet selepas rombakan besar oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Setahun kemudian, pada 17 Oktober 2016, beliau menubuhkan Parti Warisan Sabah (WARISAN). Parti itu mencatat kejayaan besar apabila menawan pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum Negeri 2018, dengan Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-15. Pemerintahannya bagaimanapun hanya bertahan 26 bulan sebelum tumbang pada Pilihan Raya Negeri 2020. Walaupun berjaya mempertahankan kerusi DUN Senallang dengan majoriti 4,631 undi, angka itu merosot berbanding pilihan raya sebelumnya.
Namun, rungutan pelancong di media sosial yang kecewa dengan keadaan kebersihan di Semporna terus kedengaran.
Mereka mendakwa pulau-pulau di sekitar Semporna memang indah, tetapi keadaan daratan di pekan dan perkampungan air tercemar dengan sampah plastik, longgokan sisa dan pencemaran yang ketara.
Catatan di media sosialnya tular dan mengundang pelbagai reaksi, termasuk dari penduduk tempatan yang mengakui masalah sampah telah lama berlaku.
Kenyataan itu menimbulkan perbincangan lebih luas tentang imej Semporna sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Kritikan terbuka di media sosial dikhuatiri menjejaskan reputasi pelancongan Sabah sekiranya pihak berkuasa dan pimpinan kawasan gagal menunjukkan tindakan segera dalam menguruskan kebersihan dan persekitaran.
Mengulas lanjut, Mohd Rashdey yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Senallang turut menegur kelemahan pembangunan asas seperti jalan raya dan bekalan air yang masih jauh ketinggalan walaupun Semporna pernah diterajui tokoh besar di peringkat nasional.
“Kalau betul mahu ‘selamatkan Sabah’, sepatutnya Semporna sudah lama berubah. Tapi sampai hari ini, jalan raya masih seperti zaman dulu, kampung masih tiada air paip, dan sampah pula bertimbun di mana-mana,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mengenai janji pembangunan yang tidak tertunai, termasuk projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi mangsa kebakaran di Bangau-Bangau yang diumumkan sejak tahun 2019 tetapi belum dilaksanakan hingga kini.
“Masa Pilihan Raya 2019, mereka janji esok menang, esok bina rumah untuk mangsa kebakaran di Bangau-Bangau.
“Tapi sampai hari ini tiada. Penduduk di situ majoritinya rakyat tempatan yang ada IC, bukan setinggan seperti digambarkan,” tegasnya.
Menurut beliau, rakyat kini semakin sedar bahawa perubahan kepimpinan diperlukan bagi memastikan kebersihan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat benar-benar diberi keutamaan.
“Saya lihat sekarang bukan soal ‘selamatkan Sabah’, tapi ‘selamatkan diri dan legasi’. Kita mahu pemimpin yang betul-betul fikir untuk rakyat, bukan untuk kroni atau keluarga sendiri,” ujarnya.
Mohd Rashdey turut menyeru penduduk Semporna agar terus menyokong usaha baharu kerajaan negeri jika diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang bersama agensi tempatan.
“Ini penting dalam memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal, sambil memastikan setiap inisiatif kebersihan dan pembangunan yang dirancang benar-benar dilaksanakan secara berterusan,” katanya.