Shazia Lancar ‘Itoshi Hito’, Lagu Cinta Bahasa Jepun Ciptaan Pakya Senario

Shazia Lancar ‘Itoshi Hito’, Lagu Cinta Bahasa Jepun Ciptaan Pakya Senario

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Shazia Rozaini, tampil dengan single terbaharu berjudul “Itoshi Hito”, sebuah lagu cinta berbahasa Jepun yang sarat emosi hasil ciptaan komposer dan pelawak terkenal kumpulan Senario, Illya Buang atau lebih dikenali sebagai Pakya Senario.

“Itoshi Hito” yang membawa maksud “rinduku” mengisahkan seorang gadis Melayu yang memendam perasaan terhadap seorang jejaka di Jepun. Namun, perasaan cinta itu tidak pernah diluahkan, malah si gadis hanya mengandaikan jejaka tersebut turut menyimpan rasa yang sama tanpa sebarang kepastian, lalu persoalan cinta itu terus berlegar di fikirannya.

Menurut Shazia, lagu berkenaan mempunyai makna yang sangat istimewa buat dirinya.

Itoshi Hito memberi makna yang sangat romantik dalam bahasa Jepun. Lagu ini juga melambangkan kerinduan saya terhadap dunia nyanyian yang mula membawa saya ke dalam bidang seni. Saya amat teruja apabila Pakya mempercayakan lagu ini kepada saya, apatah lagi ia turut menggambarkan keindahan negara Jepun,” katanya.

Shazia sebelum ini pernah tampil dengan beberapa single nyanyian, namun kini lebih aktif sebagai pelakon menerusi pelbagai drama dan telefilem terbitan TV3, Astro dan RTM.

Beliau juga terlibat dalam pementasan teater muzikal Masmoona baru-baru ini, bergandingan dengan barisan pelakon antaranya Nabila Huda.

Sementara itu, Pakya berkata ilham menghasilkan lagu berbahasa Jepun tercetus daripada minatnya terhadap karya muzik era 1970-an yang banyak dipengaruhi pengkarya Jepun.

“Saya dapati irama lagu Jepun sangat sesuai dengan cita rasa pendengar Melayu. Jadi, mengapa tidak kita hasilkan karya untuk halwa telinga mereka pula,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Shazia sebagai seorang penyanyi berbakat dan berpotensi besar dalam industri muzik.

“Saya mengenali Shazia menerusi rancangan Sepahtu Reunion dan tertarik untuk menghasilkan single ini. ‘Itoshi Hito’ adalah langkah penting dalam memperluaskan perjalanan seni muzik Shazia,” tambahnya.

Dengan adunan melodi sentimental, pengaruh budaya Jepun serta penceritaan yang halus, “Itoshi Hito” menawarkan pengalaman emosi kepada pendengar melalui sentuhan rindu yang mendalam.

Lagu ini mendapat sokongan Luncai Emas, selaku penerbit dan pengedar, yang melihat penghasilan karya berbahasa Jepun ini sebagai satu inisiatif untuk menembusi pasaran antarabangsa serta menyemarakkan industri muzik tempatan.

Pengedaran digital dan hak cipta lagu “Itoshi Hito” ditadbir oleh Luncai Emas dan kini boleh didengari di platform digital seperti Spotify, Apple Music dan iTunes, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.