KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengalami kecederaan melecur selepas sebuah van Toyota Liteace terbakar 100 peratus dalam kejadian kebakaran di Wawasan Plaza Sentral, Api-Api, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6.58 petang, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi pada 7.03 malam, dengan jarak kira-kira empat kilometer.
Ketua BBP Kota Kinabalu, PPgB Hanis Mokhtar berkata, kebakaran melibatkan sebuah van Toyota Liteace yang telah terbakar sepenuhnya ketika pasukan bomba tiba. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan dua pancutan salur bantu mula.
“Seorang mangsa lelaki berusia 39 tahun mengalami kecederaan melecur kira-kira tujuh peratus di bahagian belakang badan. Mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Seramai 11 anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu EMRS dan satu Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
Operasi berjaya dikawal pada 7.27 malam dan ditamatkan seminit kemudian selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.






