SAGA 2025: Atlet Penampang Dihargai Selepas Raih 45 Pingat di Tawau

SAGA 2025: Atlet Penampang Dihargai Selepas Raih 45 Pingat di Tawau

0
SHARE

PENAMPANG: Kejayaan atlet Sabah Games (SAGA) 2025 Daerah Penampang meraih 45 pingat keseluruhan pada kejohanan di Tawau, Oktober lalu, mendapat pengiktirafan apabila mereka menerima insentif dan penghargaan dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, pada Selasa.

Insentif tersebut melibatkan pemberian wang tunai sebanyak RM1,000 bagi setiap pingat emas, RM700 bagi pingat perak dan RM500 bagi pingat gangsa, yang disumbangkan oleh pemimpin kawasan Parlimen Penampang dan disalurkan melalui Majlis Perbandaran Penampang.

Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, insentif itu adalah tanda penghargaan terhadap komitmen serta usaha gigih atlet, jurulatih, pengurus dan urusetia pasukan dalam mengharumkan nama Penampang di peringkat negeri.

“Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya berharap penghargaan ini dapat menyuntik semangat dan menjadi dorongan kepada lebih banyak kejayaan sukan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak dan pemimpin yang menyokong pasukan SAGA Penampang, sambil menyifatkan kejayaan kutipan pingat itu sebagai motivasi kepada pasukan lain yang bakal menyertai kejohanan sukan akan datang, termasuk SAGA seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Sandakan.

Pada masa sama, Ewon menegaskan keperluan untuk menambah baik kemudahan dan infrastruktur sukan di Penampang, susulan maklum balas jurulatih dan pengurus beberapa acara seperti karate, taekwondo, bola keranjang dan badminton yang berdepan kekangan kemudahan latihan.

Katanya, ketiadaan dewan masyarakat yang selamat dan berfungsi menyukarkan sesi latihan atlet, justeru perkara itu akan dibawa ke peringkat perbincangan tindakan daerah bagi perhatian dan tindakan lanjut.

“Apabila kemudahan sukan dapat dipertingkatkan, saya percaya Penampang akan lebih bersedia menjadi tuan rumah SAGA atau kejohanan sukan lain pada masa hadapan,” katanya.