KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki maut dipercayai terjatuh daripada tingkat 10 bangunan Apartment Marina Court di sini, Khamis. Mangsa yang berumur 35 tahun, berasal dari Kg. Seberang Benoni, Papar ditemui maut di balkoni tingkat apartment tersebut.
Mohd Nazrul Bin Ab Kipli, 35, mangsa maut di temui sekitar jam 1 pagi oleh pengawal keselamatan selepas dia dimaklumkan oleh saudara wanita kepada mangsa yang tinggal di bangunan itu.
Memetik kenyataan di Harian Ekspres, Ketua Polis Bandaraya, ACP M. Chandra berkata polis terus bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan kira-kira jam 1.04 pagi mengenai seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di balkoni tingkat satu bangunan itu.
Chandra berkata, polis turut menghubungi ambulans serta Bomba dan Penyelamat.
“Menurut saudara mangsa, lelaki itu datang ke unit di tingkat 10 itu untuk menghantar kunci kereta.
“Berlaku pertengkaran di antara mereka dan ketika mereka berada di balkoni, mangsa tergelincir dan terjatuh ke balkoni di tingkat satu.
“Wanita itu segera menghubungi pengawal keselamatan di bangunan itu untuk mendapatkan bantuan dan pengawal keselamatan itu kemudian menghubungi polis,” katanya.
Menurut Chandra, seorang pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH 1) yang tiba di tempat kejadian, mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia. Pemeriksaan fizikal ke atas mayatnya mendapat kecederaan pada kepala dan kaki.
Mayat mangsa itu kemudian dihantar ke QEH 1 untuk dibedah siasat.