PENAMPANG, SABAH – ‘Newborn Kota Marudu’ juara pertandingan Tarik Tali (Migazat Dukug) sempena perayaan Pesta Kaamatan 2017 yang berlangsung di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Penampang pada 30 dan 31 Mei 2017 baru-baru ini. Ini sekali gus membawa wang tunai kemenangan sebanyak RM4,000.
Pada perlawanan akhir tarik tali kategori lelaki itu, ‘Newborn Kota Marudu’ diberi saingan yang begitu hebat dan sengit oleh pasukan ‘Kudat Power’ sebelum bergelar juara. Namun, keadaan padang yang becak mempengaruhi corak gerakan dan cepat memenatkan atlet daripada pasukan ‘Kudat Power’. Walaupun tumpas kepada ‘Newborn Kota Marudu’, pasukan ‘Kudat Power’ telah menunjukkan satu prestasi yang sangat baik dan semangat juang sukan yang begitu tinggi.
Sebelum itu, pasukan ‘Newborn Kota Marudu’ memenangi dua set “game” berturut-turut sebelum melangkah ke peringkat akhir dan sekaligus mencapai gelaran juara pada edisi kali ini.
Bagi pertandingan Tarik Talik Kategori Wanita, juara dirangkul oleh pasukan ‘Penampang Bandits’, diikuti pasukan ‘Papar Caterpillar Ladies’ sebagai naib juara dan tempat ketiga dimenangi bersama oleh pasukan ‘Pardat Ladies Kudat’ dan ‘Power Puller Ladies Putatan’.
Kemeriahan sukan tradisi tarik tali edisi kaamatan kali ini sangat menggalakkan daripada pelbagai pasukan yang telah menghantar penyertaan dengan semangat kesukanan yang tinggi hasil daripada suntikan dana dan tajaan daripada Warisan Harta Sabah Group.
Perlawanan akhir itu turut di saksikan oleh Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah, Datuk Louis Rampas dan juga wakil daripada pihak penaja daripada Warisan Harta Sabah Group, Puan Emelda Barero.