NABAWAN, SABAH – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup, merasmikan Majlis Penutup Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen P.182 Pensiangan – Zon 1 Nabawan Bil 1/2022.
Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) merupakan salah sebuah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Parlimen Pensiangan telah dipilih menjadi lokasi pertama di negeri Sabah bagi menjayakan program tersebut.
Mengulas lanjut, Arthur yang juga Ahli Parlimen P.182 Pensiangan berkata seramai 396 Keluarga Malaysia yang berumur dalam lingkungan 16-60 tahun di sekitar Sook dan Nabawan telah dipilih bagi mengikuti program BLKM ini dan akan mendapat lesen memandu motosikal di samping memperolehi maklumat berkenaan dengan peraturan jalan raya.
“Pemilikan lesen kelas B2 ini akan dapat membantu masyarakat B40 di negeri Sabah khususnya para belia di Parlimen Pensiangan untuk memanfaatkan bantuan berkenaan dengan mengambil inisiatif mencari/meningkatkan pendapatan melalui pekerjaan ataupun memulakan peniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.” kata beliau ketika merasmikan majlis penutup.

Beliau turut menyifatkan pemberian bantuan lesen memandu ini adalah selari dengan usaha yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan ini.
Antara usaha-usaha yang giat dilaksanakan merangkumi infrastruktur perhubungan darat seperti pembinaan jalan Sapulut ke Salung ke Pagalungan sehingga ke Pensiangan, Jalan Kampung Sinaron ke Kampung Linayukan di Tongod dan juga pembinaan baharu serta menaik taraf menara telekomunikasi bagi memperluaskan akses telekomunikasi di Parlimen ini.
Beliau percaya usaha-usaha meningkatkan ketersambungan perhubungan darat dan jaringan telekomunikasi adalah penting bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk setempat.
Menyentuh mengenai kadar kemalangan di daerah Keningau yang meningkat 20 kes atau 98 kes sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun 2022 berbanding 78 kes pada tahun 2021, Arthur turut mengingatkan agar penerima BLKM akan menjadi contoh pengguna jalan raya yang berdisiplin dan berhemah dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Pemanduan yang berhemah dan berdisplin akan menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya di negara. Ini adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50%, menjelang tahun 2030,” katanya lagi
Hadir sama di majlis tersebut, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (Perancangan & Operasi) Malaysia, Tuan Aedy Fadly Ramli; Penolong Pegawai Daerah Nabawan, Encik Ali Khazrai Pandin Ali Udin dan Encik Romie Matalip, Ketua Bahagian Penguatkuasa, JPJ Negeri Sabah.





