Van Terbabas, 7 Pelajar Tahfiz Terkorban

Van Terbabas, 7 Pelajar Tahfiz Terkorban

0
SHARE

KUALA KRAI, KELANTAN – Seramai 7 orang mangsa yang terdiri daripada pelajar tahfiz terkorban manakala yang lain mengalami cedera parah selepas van yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam cerun lalu merempuh sebuah rumah penduduk kampung di Kilometer 55 Jalan Kuala Krai – Kota Bharu, dekat Kampung Telekung hari ini.

Tragedi yang berlaku kira-kira 9.40 pagi itu, lima mangsa terkorban di tempat kejadian dikenali sebagai Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18, Muhammad Rahman Rozali, 18, Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16, Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, dan seorang pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad yang belum diketahui umurnya. Menurut kenyataan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Zulkarnain Ismail Al Haj, dipetik dari kenyataan Bernama, manakala dua orang mangsa lagi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, dikenali sebagai Mohd Hakimi Mohd Dahlan, 17, dan Ahmad Farhan Zulkifli, 14.

Mangsa lain yang mengalami cedera parah kini dirawat di Hospital Kuala Krai dan di Hospital Machang. Mereka ialah Ahmad Syakir Azfar Abd Rahim, 16, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohamad Izahir, 17, Muhammad Aidil Ismail, 14, Muhammad Syuwari Manasikana, 14, Muhammad Nur Haikal Fauzi, 14, Muhammad Hamzi Muhammad Husham, 24, dan Muhammad Izzat Muhammad Nor, 24.

“Dua belas pelajar dan dua guru pengiring itu dalam perjalanan untuk menghadiri program Daurah Tafsir Al-Quran di Madinah Ramadan (dekat Stadium Sultan Muhammad IV) Kota Bharu. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah katanya.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi rumah mayat Hospital Kuala Krai apabila lebih 50 anggota keluarga mangsa berkumpul untuk menuntut jenazah.

Turut hadir ke hospital, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ahmad mengucapkan takziah kepada semua keluarga pelajar yang terbabit dan berharap mereka bersabar dengan tragedi itu.