Sindiket Perjudian Atas Talian “Geng Ah Tai” Ditangkap Semula

Sindiket Perjudian Atas Talian “Geng Ah Tai” Ditangkap Semula

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Polis menangkap semula TIGA (3) individu dipercayai dalang sebalik aktiviti judi atas talian di Tawau pada Sabtu.

Sindiket terbabit yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berumur 23 hingga 57 tahun sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah untuk siasatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ghazali Hazani berkata tangkapan 10.38 pagi tersebut berlaku di lobi tingkat bawah bangunan Wisma Persekutuan Tawau.

“Risikan dan siasatan lanjut membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki lingkungan umur 30-an yang turut terlibat menjalankan aktiviti perjudian atas talian…

“Serbuan dilakukan pada hari yang sama lebih kurang 2.15 petang di Taman Anugerah, Tawau.

“Permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah keatas kesemua tangkapan telah dibenarkan sehingga 30 jun,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1)(C), 4a (A) dan 4b (A) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 di samping tindakan dibawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Tambah Hazani, pihak polis Kontinjen Sabah dengan kerjasama SPRM Sabah kini giat menjalankan siasatan dan melancarkan serbuan bagi mengesan lebih ramai ahli sindiket.

“Usaha ini untuk mengekang aktiviti perjudian atas talian dan loteri awam tanpa lesen daripada terus berleluasa khususnya di negeri Sabah…

“Kerjasama yang erat dengan pihak SPRM Sabah akan terus diperkukuhkan bagi memudahkan koordinasi dan penyelarasan tindakan yang lebih agresif dan berkesan,” katanya dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy.

Hazani (tengah) bergambar bersama S Karunanithy (kiri) selepas sidang media…

Katanya sindiket terbabit meraih keuntungan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Juga difahamkan SPRM berkerjasama dengan polis untuk menyiasat kes anggota polis yang menerima rasuah dari sindiket ini berjumlah RM 10,000 keseluruhan yang diberi secara berperingkat.

“Dakwaan ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 16(B) tapi tujuan utama kami adalah untuk menghapus sindiket dan membunuh akarnya,” katanya.

Hazani pula berkata pihak polis akan mengambil tindakan dalaman kepada anggota polis terlibat.

“Integriti adalah penting. Tindakan segera akan diambil pada kambuing hitam yang memecah amanah serta mencalarkan imej agensi kerajaan. Kami tiada bertolak ansur berkenaan hal ini,” tegasnya.

Pada 21 Jun lalu, SPRM menahan ketiga individu Geng Ah Tai terbabit dan merampas wang tunai sebanyak RM39,199 selain menyita empat akaun bank berjumlah RM586,576 dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian haram.

Dalam perkembangan lain, ditengah demam bola Piala Euro 2021 ini, polis berkata setiap hari berlakunya tangkapan keatas ‘bookie’ yang berperanan mengatur wang pertaruhan haram.

Katanya kebanyakkan tangkapan berlaku di kawasan luar bandar.

“Operasi masih giat dijalankan. Hasil kejayaan akan menyusul,” tambahnya lagi.