KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) , Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, STAR akan mengadakan upacara memperingati dan meraikan Hari Sabah di Keningau pada 31 Ogos ini.
Menurut beliau, acara yang bertepatan dengan Hari Kebangsaan Malaysia itu akan dianjurkan bersama oleh pemuda STAR dan NGO Gerakan Rakyat Sabah.
“Malangnya, kami tidak dapat menyiapkan pewartaan Hari Sabah tepat pada masanya untuk memperingatinya tahun ini…
“Bagaimanapun, kami berusaha dengan gigih untuk memastikan langkah mewartakan hari ini sebagai Hari Sabah jadi kenyataan, tepat pada masanya untuk sambutan tahun depan.
“Ia boleh dilakukan, dan ia harus dilakukan. Jika Sarawak boleh melakukannya, mengapa Sabah tidak? Kita juga ada Hari Sabah sendiri, sama seperti Sarawak ada Hari Sarawak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, Hari Sabah tahun ini akan disambut dengan aktiviti Jalan Kemerdekaan selama dua minggu di seluruh Sabah, pertandingan video, pertandingan slogan terbaik dan juga konsert.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, acara yang paling penting ialah mengibarkan bendera Sabah untuk memulakan acara ini…
“Terdapat juga pameran awam yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran sejarah dan pemahaman tentang sejarah Sabah di kalangan penduduk tempatan dan Malaysia.
“Saya menantikan Hari Sabah yang paling meriah tahun ini. Saya berharap ramai rakyat Sabah akan menyertai kita semasa kita meraikan 59 tahun Sabah memperoleh pemerintahan sendiri daripada Empayar British dan menghormati nenek moyang kita yang berjuang untuk kemerdekaan kita.
“Saya juga ingin menjemput pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk berganding bahu meraikan detik dalam sejarah yang menandakan berakhirnya penjajahan di Sabah.
“Pada masa yang sama, kami ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia di Tanah Melayu atas sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-65 pada hari tersebut,” katanya.





