STAR, SAPP Sah Keluar Gabungan, GRS Kekal Fokus Perkukuh Strategi dan Politik...

STAR, SAPP Sah Keluar Gabungan, GRS Kekal Fokus Perkukuh Strategi dan Politik Sabah 

0
SHARE
GRS
Logo GRS ( Sumber Foto: Gambar Google )

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan hala tuju politiknya untuk kekal bersatu dan memperkukuh strategi menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), meskipun Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) sah mengumumkan keluar daripada gabungan selepas memilih untuk bertanding atas lambang parti masing-masing.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusinya merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor semalam, memberi penekanan kepada penyelarasan strategi pilihan raya dan pengukuhan prinsip kesatuan antara parti komponen gabungan.  

“Hajiji turut mengingatkan semua parti komponen agar menghormati keputusan strategik yang telah dicapai secara musyawarah, Termasuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan menggunakan satu lambang, iaitu lambang GRS dalam menghadapi PRN-17,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu dihadiri semua presiden parti komponen termasuk Masidi.

Tambah Masidi, perbincangan berlangsung dalam suasana muhibah dan terbuka, dengan fokus memperkukuh gerak kerja serta memastikan GRS tampil sebagai satu blok politik yang stabil, tersusun dan bersatu bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kestabilan politik negeri.

“GRS turut memperkemas rundingan agihan kerusi dan pelan tindakan pilihan raya dengan menekankan kepentingan kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat Sabah sebagai keutamaan utama.

“Selepas perbincangan, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk bertanding menggunakan lambang parti masing-masing akan dianggap keluar daripada gabungan.

“Keputusan ini bertujuan mengekalkan kejelasan strategi pilihan raya dan mengelakkan percanggahan mesej politik di lapangan,” jelasnya lagi.

Dalam mesyuarat itu, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee, menyatakan hasrat untuk menggunakan lambang parti masing-masing pada PRN-17.

Pengerusi GRS bersama presiden parti komponen lain seperti PBS, USNO, LDP, PHRS dan PCS menghormati keputusan tersebut.

Dengan langkah itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS secara rasmi berakhir.

Tegas Masidi lagi, meskipun STAR dan SAPP mengambil haluan sendiri, GRS menegaskan komitmen penuh untuk terus memperkasakan jentera pilihan raya serta memperkukuh kerjasama strategik menjelang PRN-17.

Gabungan itu menegaskan tumpuan utamanya adalah memastikan kestabilan politik, kesinambungan dasar pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah kekal terpelihara.