STARSABAH Academy bersama Belia Sokong SLS Dalam Tuntutan 40 Peratus Hak Sabah

STARSABAH Academy bersama Belia Sokong SLS Dalam Tuntutan 40 Peratus Hak Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: STARSABAH Academy bersama belia Sabah hadir bersolidariti di hadapan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pagi tadi bagi menyatakan sokongan terhadap Sabah Law Society (SLS) mengenai isu tuntutan 40 peratus hak Sabah.

Pengerusi Penganjur yang juga Pengetua STARSABAH Academy, Prem Kitingan berkata, dalam kes ini SLS sedang dalam usaha mendapatkan kebenaran membuar semakan kehakiman mengenai tanggungjawab perlembagaan Putrajaya untuk membayar tuntutan ini yang juga termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kehadiran kami juga adalah untuk menyatakan pendirian kukuh STAR Sabah dalam kes berkaitan 40% Hak Kewangan Sabah yang mana telah mulai disuarakan oleh Presiden parti STAR Sabah, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan di Dewan Undangan Negeri sejak tahun 2013 lagi sehinggalah ke hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan solidariti aman di hadapan Mahkamah, hari ini.

Tambahnya lagi, matlamat dan seruan sokongan mereka jelas atas banner besar bertulis, ’40 Peratus Hak Kewangan Sabah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sejak 16 September 1963! Artikel 112C dan item 2(1) Bahagian IV Jadual Ke-10, Perlembagaan Malaysia BUKAN SEKADAR ASPIRASI’.

“Seperti yang kita ketahui pengurusan kes hari ini dilakukan secara talian, dan Kompleks Mahkamah ini juga tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan, tetapi kami tetap berada di sini untuk memberikan sokongan berterusan dan akan mengikuti perkembangan kes 40 peratus ini sehingga selesai.

“Tidak kira sama ada hanya terdapat seorang atau dua orang yang hadir hari ini mahupun di masa akan datang, pendirian kami kekal sama untuk menyokong sehingga mendapat keputusan yang memihak kepada rakyat Sabah,” tegasnya.