JAKARTA, INDONESIA – Selepas menempuh perjalanan selama hampir setahun dan berdepan pelbagai rintangan akhirnya seorang pemuda yang berjalan kaki dari kampungnya di Indonesia untuk mengerjakan haji selamat tiba di tanah suci Makkah.
Mohammad Khamim Setiawan, 28, mula berjalan kaki dari kampung Wonopringo di Pekalongan, Jawa Tengah pada 28 Ogos tahun lalu menuju ke Makkah bagi mengerjakan haji.
Khamin memulakan ekspedisi itu bersama dua lagi rakannya tetapi mereka mengalah sebelum melepasi Jawa Tengah menyebabkan dia meneruskan perjalanan seorang diri.
Graduan jurusan ekonomi dari Universiti Negeri Semarang ini menyasarkan tiba di Makkah pada 30 Ogos ini iaitu sebelum hari wukuf.
Namun, Khamim tiba lebih awal apabila gambarnya memakai ihram di hadapan Kaabah dimuat naik di laman media sosial Facebook kelmarin.