Tingkat Kemudahan Pendidikan Luar Bandar Fokus Utama James Ratib

Tingkat Kemudahan Pendidikan Luar Bandar Fokus Utama James Ratib

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPMSTI) akan memberi tumpuan khusus terhadap usaha memperkasa pendidikan luar bandar termasuk penyediaan kemudahan asas serta akses digital di sekolah-sekolah pedalaman.

Menterinya, Datuk James Ratib berkata, fokus itu menjadi antara keutamaan sebaik beliau memulakan tugas secara rasmi di Wisma Bandaraya selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Kabinet Kerajaan Sabah, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkembangan pendidikan kini semakin maju ke hadapan, namun kekurangan peranti digital di kalangan pelajar masih menjadi cabaran yang memberi tekanan tambahan kepada ibu bapa, selain faktor infrastruktur yang tidak mencukupi.

“Saya mahu memastikan anak-anak Sabah, terutamanya di luar bandar, tidak tercicir daripada arus pendidikan digital. Pada masa sama, kemudahan asrama untuk pelajar pedalaman perlu ditingkatkan demi keselamatan serta keselesaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

James turut menegaskan keperluan menyelesaikan segera senarai sekolah daif dan projek terbengkalai di seluruh negeri demi kepentingan pelajar serta guru-guru yang berkhidmat di kawasan terlibat.

“Isu keselamatan pelajar juga antara perhatian utama, terutama membabitkan kes buli di sekolah-sekolah berasrama. Langkah memperkukuh ciri keselamatan perlu digerakkan segera,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat pertama bersama Setiausaha Tetap Kementerian, Hassan Mahali bagi membincangkan pelaksanaan agenda pendidikan di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

“Saya berbesar hati untuk bekerjasama dengan seluruh warga kementerian dan pihak berkaitan bagi memastikan sistem pendidikan di Sabah terus diperkasa,” katanya.