TLDM Mengukuhkan Kerjasama Tentera – Masyarakat Awam di Pulau Maiga

TLDM Mengukuhkan Kerjasama Tentera – Masyarakat Awam di Pulau Maiga

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Program Jiwa Murni Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kerjasama NGO Iman Care dan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah di Pulau Maiga, sini, bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM Ke-88 berlangsung dengan jayanya semalam.

Penganjuran program tersebut adalah sejajar dengan hasrat TLDM mendokong Teras Ke-4 Pelan Strategik Kementerian Pertahanan iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam dan Tentera Civil Military Cooperation (CIMIC) Demi Pertahanan Menyeluruh.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Panglima Wilayah Laut 2, Yang Berbahagia Laksamana Pertama Hj Jamaludin Hj Sairi bersama-sama Exco Belia, Sukan dan NGO Terengganu Penasihat Iman Care iaitu Ustaz Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Pengarah JAKIM Sabah, Datuk Haji Norjeli Haji Dais.

Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini adalah pelaksanaan kerja-kerja selenggaraan, pembersihan kawasan serta baik pulih satu-satunya surau yang terdapat di pulau itu.

Kerja seperti mengecat, pemasangan tikar getah, membina semula mimbar dan tempat mengambil wuduk dilakukan bagi memastikan keselesaan penduduk yang menggunakan surau tersebut.

Pembinaan pump manual air bawah tanah turut dilakukan untuk membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih terutamanya ketika mengambil wuduk.

Selain itu, sumbangan berupa naskah Al-Quran, Iqra, sejadah dan telekung turut disampaikan kepada wakil penduduk.

Di samping itu, sumbangan bakul makanan dan beras turut disalurkan kepada setiap ketua keluarga penduduk di sini.

Program ini telah melibatkan warga Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dan Unit Bawah Naungan iaitu Kapal Diraja SRI SEMPORNA (KD SRI SEMPORNA), Kapal Diraja SRI TAWAU (KD SRI TAWAU), Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) bersamasama wakil daripada pihak NGO Iman Care serta JAKIM Sabah yang telah bekerjasama membanting tulang menjayakan program ini.

“Pucuk kepimpinan tertinggi TLDM berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi hubungan kemasyarakatan serta silaturahim antara warga the Navy People dengan masyarakat awam.

“Penganjuran program ini juga merupakan tanggungjawab sosial TLDM bersama pihak NGO Iman Care dan JAKIM Sabah menzahirkan keprihatinan dalam membantu masyarakat setempat melalui khidmat masyarakat di pulau tersebut,” kata Jamaludin.