KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menyifatkan percubaan terkini pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset yang didakwa milik Malaysia di Belanda merupakan satu lagi tindakan mengambil kesempatan dan melanggar perundangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan terbabit bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).
“Kerajaan melalui Pasukan Khas Bagi Menangani Isu Tuntutan Waris Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) Terhadap kerajaan Malaysia telah membincangkan perkara ini dan mempunyai langkah strategik yang akan dilaksanakan…
“Namun, perkara tersebut tidak dapat saya dedahkan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Seri Azizah Mohd Dun (BERSATU – Beaufort) semasa sesi sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan waris Kesultanan Sulu telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (final award) di Mahkamah Belanda terhadap aset Malaysia di sana termasuk rangkaian aset milik PETRONAS.

Susulan itu, Junaidi menyatakan kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Peguam Negara sentiasa komited dan akan mencabar segala proses perundangan yang perlu dihadapi.
Sementara itu, beliau turut tidak ketinggalan menegaskan rakyat khususnya di Sabah turut perlu memainkan peranan dalam menapis dan menghalang penyebaran berita tidak tepat mengenai isu tuntutan terbabit.
Disamping itu, Junaidi turut berkata rakyat Sabah juga memastikan fokus diberikan terhadap makluman sah daripada sumber kerajaan yang diwakili kementerian atau jabatan berkepentingan.
“Komitmen serta kesedaran yang sama juga harus ada dalam setiap rakyat negara ini termasuk di Sabah untuk memahami isu sebenar daripada sumber fakta yang tepat dan sahih…
“Tanggungjawab untuk menjaga kepentingan negara adalah tanggungjawab bersama.
“Kerajaan mengalu-alukan bantuan daripada masyarakat umum untuk sentiasa mempertahankan kepentingan negara walaupun melalui media sosial,” katanya.





