KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Pemuda, Parti Warisan Sabah, Dato’ Mohd Azis Jamman berjanji untuk mengheret ahli-ahli politik korup ke muka pengadilan apabila pembangkang mengambil alih kerajaan.
“Saya mencadangkan kepada mereka, tempahlah tempat kamu di penjara sekarang, baik di Penjara Kajang, Penjara Kepayan, kerana apabila kami merampas kuasa, kami akan pastikan kamu terima natijah dari jenayah yang kamu lakukan. Mereka yang terbabit dalam skandal kewangan, berhati-hati kerana kami akan memburu kamu,” katanya.
Beliau menepis dakwaan bahawa Presiden parti, Datuk Seri Shafie Apdal adalah seorang pemimpin yang rasuah ketika beliau berada dalam Barisan Nasional (BN) kerana jika benar, dia tidak berani meninggalkan parti kerana mengetahui bahawa masa lampaunya akan kembali menghantuinya.
Keberanian Shafie, katanya, adalah bukti dia tiada apa untuk ditakutkan daripada kerajaan semasa, sambil menambah bahawa semua tuduhan lain yang dilemparkan terhadap bekas Naib Presiden UMNO itu terbukti palsu.
Beliau juga mengingatkan rakyat Sabah bahawa Shafie tidak meninggalkan UMNO kerana kecewa dengan parti tetapi kerana integritinya tidak boleh dirunding khususnya berhubung isu 1MDB yang beliau lihat sebagai merompak masa depan rakyat.
“Dia sudahpun berada di atas dalam parti ketika dia tinggalkan parti. Mereka yang berkata dia (Shafie) akan kembali kepada UMNO selepas pilihan raya, mereka tidak tahu apa yang mereka katakan. Beliau tahu akibat yang bakal berlaku apabila dia bercakap mengenai 1MDB tapi dia tetap melakukannya,” katanya.
Selepas Shafie meninggalkan UMNO, beliau ditawarkan jawatan Timbalan Presiden parti baharu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad, Parti Bersatu Bumiputera Malaysia (PBBM) yang bermakna, jika PBBM menang, Shafie akan menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Itu juga bermakna kerjaya politiknya akan lebih lancar kerana beliau boleh bekerjasam dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan ketika pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau menolak tawaran itu dengan mengatakan sudah tiba masanya untuk kembali dan berjuang untuk Sabah di mana dia bersama-sama dengan Naib Presiden PKR, Darell Leiking, mengambil alih sebuah parti politik tempatan dan membinanya dari sifar untuk menjadi Warisan yang kita nampak hari ini.
Azis menafikan dakwaan sesetengah pihak yang berkata Shafie tidak menyumbang apa-apa kepada Sabah ketika dia menjadi seorang menteri ketika dahulu, khususnya kerana Sabah adalah penerima terbesar pelbagai projek dan bajet Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika penggal Shafie antara tahun 2009 dan 2015.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan Shafie untuk meninggalkan UMNO mempunyai hikmah disebaliknya kepada Sabah kerana Warisan lahir dengan cita-cita untuk mengubah landskap politik di negeri ini.
UMNO, katanya, adalah parti politik paling kuat di negara ini dan ia telah berjaya mengawal malah senario politik di Sabah sekalipun ketika pemerintahan parti tunggal di bawah USNO, Berjaya dan PBS.
Parti itu juga berjaya memecahkan sepenuhnya rakyat Sabah dengan membahagi-bahagikan mereka ke dalam parti-parti komponen BN yang mempunyai kriteria tertentu seperti berasaskan agama dan bangsa.
“Tapi sekarang kita tahu UMNO tidak lagi sekuat dahulu. Warisan, sejak diwujudkan, telah berjaya menembusi sempadan kaum dan agama. Ahli-ahli kami datang dari semua kumpulan etnik dan agama. Kami perlu memperkukuh kepentingan rakyat Sabah.
“Selama 53 tahun kita berada dalam Malaysia, Sabah tidak pernah dirujuk mengenai perlantikan Perdana Menteri. Suara-suara kita mesti diambil kira, tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, matlamat untuk mengubah kerajaan tidak akan berjaya tanpa kerjasama rapat antara pantai timur dan pantai barat Sabah.
Beliau menggesa belia-belia di Sabah agar lebih aktif dalam politik dan memacu revolusi ke hadapan kerana sejarah telah membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menghalang rakyat jika mereka benar-benar bersatu dalam menentang kezaliman.
– HarianEkspres
 
             
	




