UMS Rai Graduan Pascasiswazah, Penyelia Dalam MAP 2021

UMS Rai Graduan Pascasiswazah, Penyelia Dalam MAP 2021

0
SHARE
.Graduan pascasiswazah 2021 dan penyelia mengambil gambar kenangan pada Majlis Anugerah Pascasiswazah. Turut kelihatan Taufiq (duduk tengah)...

KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan graduan pascasiswazah dan penyelia dalam satu Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) 2021, di sini, hari ini.

Dianjurkan Pusat Pengajian Pascasiswazah dengan kerjasama Pusat Luar UMS (PLUMS), MAP diadakan bersempena Majlis Konvokesyen UMS ke-23 pada 25-27 Jun 2022.

Perasmiannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin di Auditorium, Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS.

Dalam ucapannya Taufiq berkata, sejajar dengan dasar kerajaan yang lebih telus kepada kehendak dan aspirasi rakyat, semua institusi pengajian tinggi termasuklah UMS disemarakkan dengan budaya pendidikan berasaskan pemupukan rasa kecintaan dan pemerkasaan sikap hormat menghormati.

“Sedar atau tidak, segala yang saudara dan saudari lalui bukan semata-mata mengenai soal menamatkan pengajian lalu dikurniakan dengan segulung ijazah.

“Ia adalah suatu pengalaman tentang bagaimana mencapai kecemerlangan dan seterusnya menggapai kemenangan dalam perjuangan menuntut ilmu…

“Tanpa dedikasi dan disiplin serta komitmen dan kesungguhan tidak mungkin kejayaan ini dapat diperoleh,” katanya.

Ujar Taufiq, pengajian di peringkat pascasiswazah seharusnya mampu mempertingkatkan lagi kualiti para pelajar.

“Saya yakin sebagai kumpulan pelajar matang, para pelajar pascasiswazah mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri dalam menamatkan pengajian masing-masing.

“Pandangan dan idea saudara dan saudari selepas ini akan tampak berbeza hasil daripada ilmu dan pengalaman yang diperoleh dari pengajian yang dilalui…

“Pastinya, kejayaan menerima segulung ijazah di pentas Konvokesyen pada 25 Jun 2022 nanti disebabkan para pelajar mempunyai pelan pengajian yang sistematik, terarah dan berfokus.

“Selain itu, saudara dan saudari telah mengikuti segala bimbingan penyelia dengan baik. Segulung ijazah yang anda peroleh hari ini adalah milik anda dan keluarga, tahniah,” kata Taufiq.

Pada majlis itu, seramai 43 graduan dan penyelia telah menerima pelbagai anugerah yang ditawarkan.

Antaranya, Anugerah Aspirasi Pascasiswazah, Anugerah Pelajar Terbaik Sarjana Kerja Kursus mengikut Program, Anugerah Tesis Terbaik Sarjana (Sains), Anugerah Tesis Terbaik (Sastera), Anugerah Tesis Terbaik Doktor Falsafah (Sains), dan Anugerah Tesis Terbaik Doktor Falsafah (Sastera).

Turut disampaikan ialah Anugerah Penyelia Terbaik (Sains), Anugerah Penyelia Terbaik (Sastera), Anugerah Pelajar Cemerlang Pascasiswazah (Secara Penyelidikan) dan Anugerah Pelajar Cemerlang Pascasiswazah (Secara Kerja Kursus).

Dalam pada itu, graduan Fakulti Kejuruteraan, Dr. Chung Chin Hing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Secara Penyelidikan) dan turut dipilih memberi ucapan wakil graduan pada majlis anugerah berkenaan.