UMS Sedia Sumbang Kepakaran Bangunkan Sistem Rawatan Air Untuk Penduduk Pulau Kaniogan

UMS Sedia Sumbang Kepakaran Bangunkan Sistem Rawatan Air Untuk Penduduk Pulau Kaniogan

0
SHARE

BELURAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Makmal Hidup Rural Water Supply (RuWaS), Fakulti Sains dan Teknologi, menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepakaran dalam membangunkan sistem rawatan air bagi membantu penduduk Pulau Kaniogan yang kini berdepan masalah bekalan air bersih.

Pulau terpencil yang terletak di daerah Beluran itu dihuni kira-kira 1,200 penduduk dan telah lama menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian, termasuk minuman. 

Ketua Kampung Kaniogan, Azmi Madlis, menjelaskan bahawa penduduk terpaksa mendapatkan air dari pekan Beluran dengan kos yang tinggi, sekali gus membebankan mereka dari sudut ekonomi.

Sebagai usaha awal ke arah penyelesaian jangka panjang, pasukan penyelidik RuWaS UMS telah turun padang ke Pulau Kaniogan untuk melakukan cerapan termasuk, penilaian potensi air bawah tanah; ujian kualiti air sedia ada; dan kajian awal terhadap keberkesanan sistem rawatan air berasaskan sumber tempatan.

Profesor Kehormat Dr. Kawi Bidin yang mengetuai pasukan penyelidik menyatakan bahawa UMS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan, NGO dan sektor swasta untuk menyalurkan dana dan sokongan teknikal bagi merealisasikan sistem bekalan air bersih di kampung tersebut.

“Kami mempunyai pengalaman dan teknologi yang sesuai untuk diaplikasikan di kawasan luar bandar. Apa yang diperlukan hanyalah kerjasama serta sokongan kewangan untuk melaksanakannya secara berkesan,” ujar beliau.

Penduduk Pulau Kaniogan kini berharap lawatan dan komitmen UMS ini akan menjadi pencetus kepada tindakan bersepadu daripada kerajaan dan pihak berkaitan dalam memastikan hak asas mereka terhadap air bersih akhirnya tercapai.

UMS melalui RuWaS sebelum ini telah berjaya membangunkan beberapa sistem mikroloji bekalan air untuk kampung-kampung di kawasan pedalaman Sabah seperti di Pitas yang memberi impak besar kepada kesejahteraan komuniti setempat.