KOTA KINABALU, SABAH – UNICEF Malaysia pada awal minggu ini telah menyampaikan bantuan perubatan peralatan bernilai RM627,948 ke wad Obstetrik dan Ginekologi (OG) lima hospital di Sabah.
Peralatan perubatan untuk memperkasa perkhidmatan kesihatan kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Keningau dan Kota Kinabalu.
Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam, Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata, pihak mereka telah bekerja tanpa jemu sejak bermulanya wabak COVID-19 dalam usaha mengurangkan impak virus terhadap kanak-kanak termasuk mengukuhkan kemudahan kesihatan di seluruh Malaysia.

“Bantuan yang diserahkan di sini telah dirancang dan diselaraskan bersama Bahagian Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
“Kami berharap peralatan perubatan yang dihantar akan melengkapkan usaha Kementerian Kesihatan untuk menyediakan penjagaan perubatan yang mencukupi untuk kanak-kanak dan ibu di Malaysia…
“Bersama-sama dengan kerajaan, UNICEF bekerja untuk setiap kanak-kanak di Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah untuk semua etnik kumpulan dan kaum.

“Ini termasuk bukan warganegara, pendatang tanpa dokumen, dan kanak-kanak kurang upaya yang sering dipinggirkan,” katanya dalam kenyataan.
Selain Sabah, UNICEF juga akan menghantar peralatan perubatan kepada Wad OG di Hospital Ampang dan Hospital Serdang, di Lembah Klang bernilai RM377,624.
Tahun lepas, UNICEF Malaysia melancarkan tabung rayuan kecemasan COVID-19 pada Julai 2021 sebagai bertindak balas kepada keperluan mendesak beberapa hospital di Malaysia.
Sebanyak 400 pemekat oksigen dan peralatan menyelamatkan nyawa lain bernilai RM1.2 juta dihantar ke beberapa hospital di Lembah Klang.





