Vandalisme Jejaskan Usaha Sediakan Liputan Jalur Lebar Di Puncak Borneo

Vandalisme Jejaskan Usaha Sediakan Liputan Jalur Lebar Di Puncak Borneo

0
SHARE
Willie Mongin...

KUCHING, SARAWAK – Usaha menyediakan akses bagi perkhidmatan liputan jalur lebar di kawasan Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) dalam Parlimen Puncak Borneo berdepan masalah apabila menara telekomunikasi di situ dirosakkan lagi selain peralatannya dicuri.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin yang dipetik Bernama berkata ini adalah kali kesembilan menara itu dirosakkan dan beliau bercadang mengadakan dialog bersama penduduk di BRS pada Khamis untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita akan membawa pihak polis dan penduduk kampung di BRS untuk berbincang dalam dialog ini untuk bekerjasama mencari penyelesaian kerana perkara ini juga berlaku di kawasan lain di Puncak Borneo,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Merdeka@Komuniti P.198 Puncak Borneo di Dewan Serbaguna Kampung Peraya, Padawan dekat sini, semalam.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata setakat ini, sebanyak lapan menara telekomunikasi telah siap dibina serta berfungsi manakala 12 lagi masih dalam peringkat pembinaan.

“Saya juga sudah memohon sebanyak 10 menara telekomunikasi tambahan setelah bermesyuarat dengan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) Sarawak dua bulan lalu,” katanya.Beliau juga berkata Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan membina 19 lagi menara telekomunikasi.

Willie berkata  pemasangan sistem jalur lebar Internet menggunakan satelit juga sudah bermula di kawasan terbabit iaitu di Kampung Karu, Borneo Highland Resort, Kampung Bratan dan Kampung Simuti.

“Sistem ini telah berfungsi dan bukanlah mengambil alih sistem (menara) telekomunikasi tetapi bagi melengkapkan kemudahan jalur lebar Internet untuk kawasan terpencil yang tiada liputan rangkaian jalur lebar menerusi menara itu,” katanya.