WHO Gesa Kerajaan Di Serata Dunia Dekati Penunjuk Perasaan Yang Bantah Sekatan...

WHO Gesa Kerajaan Di Serata Dunia Dekati Penunjuk Perasaan Yang Bantah Sekatan Berkaitan COVID-19

0
SHARE

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menggesa kerajaan di serata dunia supaya mendekati penunjuk perasaan yang membantah sekatan berkait COVID-19 dan mendengar luahan kebimbangan mereka.

Namun pada masa sama, agensi antarabangsa itu menekankan penunjuk perasaan terbabit juga perlu memahami bahawa virus berkenaan adalah berbahaya.

Ketika ditanya berhubung demonstrasi membantah sekatan berkait COVID-19 di beberapa negara, baru-baru ini, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus yang dipetik AFP menjelaskan bahawa adalah penting untuk ‘mendengar pertanyaan dan suara rakyat’.

“Kita harus mendekati mereka melalui dialog yang jujur. Virus ini adalah nyata dan berbahaya, malah ia bergerak pantas serta membunuh,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, penunjuk perasaan bagaimanapun bertanggungjawab memastikan demonstrasi diadakan secara selamat, selain menegaskan bahawa ‘kita perlu melakukan segala-galanya untuk melindungi diri serta orang lain’.

Sabtu lalu, polis Jerman menghalang perarakan puluhan ribu orang di Berlin yang menentang sekatan berkait COVID-19, iaitu antara tunjuk perasaan besar-besaran di beberapa negara Eropah bagi membantah peraturan memakai pelitup muka dan langkah pencegahan lain.

Ratusan penunjuk perasaan di Berlin kemudian merempuh penghadang dan kepungan polis bagi menyerbu Parlimen Jerman, dalam gerakan yang dikutuk Canselor, Angela Merkel, sebagai ‘memalukan’.

Dalam pada mengakui kepentingan membenarkan pandangan berbeza didengari, Tedros bagaimanapun membidas pandangan segelintir pihak bahawa kadar kematian yang tinggi bukan perkara membimbangkan jika ia membabitkan warga emas.

“Tanggapan bahawa kematian seseorang itu boleh diterima kerana usia adalah keruntuhan moral pada peringkat tertinggi, dan kita tidak boleh membenarkan masyarakat berkelakuan sebegini.

“Setiap nyawa sama ada muda atau tua adalah sangat berharga, dan kita perlu melakukan segala-gala untuk menyelamatkannya,” katanya.

Tedros Adhanom Ghebreyesus…

Namun, Tedros mengaku memahami perasaan kecewa yang semakin membelenggu masyarakat kerana terpaksa berdepan sekatan sejak lapan bulan lalu akibat pandemik itu.

“Kita memahami bahawa orang sudah penat dan mahu meneruskan semula kehidupan mereka. Kita memahami bahawa negara di serata dunia ingin masyarakat dan ekonomi mereka kembali rancak,” katanya.

Tedros menjelaskan, WHO menyokong penuh usaha membuka semula ekonomi dan masyarakat tetapi mahu melihat ia dilaksanakan secara selamat.

Beliau juga mengingatkan bahawa tiada negara boleh berpura-pura yang pandemik COVID-19 telah berakhir.

“Jika negara serius untuk membuka semula aktiviti, mereka mestilah serius dalam usaha mengekang penularan dan menyelamatkan nyawa,” katanya sambil menyifatkan pembukaan semula tanpa kawalan sebagai resipi bencana.

Beliau berkata, antara perkara utama boleh dilakukan bagi mengawal virus COVID-19 ialah mencegah acara besar-besaran seperti memenuhi stadium dengan peminat sukan, perhimpunan keagamaan membabitkan ramai orang atau kelab malam yang sesak.

“Elakkan acara besar-besaran sebegini supaya sektor ekonomi lain boleh dibuka semula dan ekonomi kembali bergerak. Saya fikir kita boleh hidup tanpa pergi ke stadium,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Michael Ryan, pula berkata epidemik serta darurat mewujudkan emosi yang kuat, dan penerimaan terhadap pelaksanaan langkah berkaitan sentiasa amat sukar.

“Amat penting untuk kerajaan tidak bertindak balas keterlaluan terhadap mereka yang membantah langkah diambil.

“Perkara yang betul-betul penting dilakukan ialah mengadakan dialog dengan kumpulan terbabit,” katanya melalui taklimat secara maya.