KOTA KINABALU, SABAH – Bakal Ketua Menteri Sabah Baharu, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima surat jemputan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Sabah Ke-16 di sini, hari ini.
Video yang berdurasi 1 minit 3 saat itu jelas menunjukkan Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Juhar Mahiruddin menyerahkan surat jemputan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Sabah Ke-16 kepada Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Bilik Kunjungan Istana Negeri Kota Kinabalu di sini, sebentar tadi.
Selesai sahaja penyampaian surat jemputan itu, beliau turut menghadiri raptai Istiadat Angkat Sumpah yang akan berlangsung di Dewan Istiadat Istana Negeri pada jam 10 pagi, esok (Selasa).
Terdahulu, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dicalonkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara menamakan beliau untuk memegang jawatan itu.
GRS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri.