KOTA KINABALU, SABAH – “YB NAK LOMPAT LAGI YB, kalau YB tak nak melompat saya akan bagi peluang,” demikian kata Dato’ Seri Najib yang menyoal Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (MP Tuaran) ketika mencelah semasa perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 10 Nov 2020 lalu.
Selepas soalan spontan Ahli Parlimen Pekan tersebut, turut kedengaran suara ketawa hampir kesemua MP di dalam dewan tersebut.
Video yang turut tular di media sosial Facebook dan telah membangkitkan semula kemarahan rakyat Sabah selepas Kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada 09 Mei 2018 akibat ‘pengkhianatan’ yang telah dilakukan oleh Madius Tangau bersama Datuk Seri Shafie Apdal.
VIDEO yang tular menunjukkan Najib menyindir Madius Tangau ketika ingin mencelah dalam perbahasan Belanjawan 2021 baru-baru ini…
Umum mengetahui secara sah (mengikut kuasa majoriti awal) Tan Sri Musa Hj. Aman telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah pada 10 Mei 2018, jam 11.05 minit malam di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Barisan Nasional (BN) mempunyai 29 kerusi yang kemudiannya bertambah kepada 31 kerusi selepas dua (2) Wakil Rakyat daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dipimpin oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bergabung dengan Musa untuk membentuk Kerajaan Campuran.

Parti Warisan pimpinan Shafie selepas bergabung dengan DAP dan PKR pula hanya memperolehi 29 kerusi pada ketika itu daripada 60 kerusi DUN di Sabah.

Malangnya, selepas dua (2) hari Tan Sri Musa mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah, TYT telah memperkenankan pula Datuk Seri Shafie Apdal untuk mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri selepas Madius telah berpaling tadah.

Pembelotan Madius juga dikatakan berpunca selepas Shafie memujuk beberapa orang lagi wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) untuk berpaling tadah, malahan TYT Sabah juga mempunyai peranan penting sehingga Warisan berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri Sabah melalui ‘jalan pintu belakang’ pada 12 Mei 2018 yang lalu.

Madius yang juga Presiden UPKO, telah memenangi kerusi Parlimen Tuaran pada PRU ke-14 atas tiket Barisan Nasional (BN).
Pada PRN Sabah ke-16 Madius telah bertanding di DUN Kiulu, tetapi telah KALAH kepada calon PBS.
Madius hanya memperolehi undi 2,786 berbanding calon PBS , Datuk Joniston Bangkuai sebanyak 4,007 undi.
UPKO yang bertanding di 12 kerusi pada PRN Sabah kali ke-16 telah kalah di 11 kerusi dan hanya mempertahankan DUN Kadamaian.
Dalam pada itu, penganalisis politik turut berpandangan Parti UPKO akan terus berkubur selepas ini.
“Parti Warisan juga selepas ini agak sukar untuk menerajui negeri Sabah pada PRN Sabah kali ke-17 kelak di atas banyak faktor.”
“Apa yang pasti, kedua-dua Parti ini iaitu UPKO dan Warisan jelas telah ditolak oleh rakyat Sabah dan berkeyakinan akan mengambil masa untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada kedua Parti ini.”