LAHAD DATU, SABAH – Seorang wanita ditikam berkali-kali menggunakan sebilah gunting oleh suaminya yang ketagihan dadah, di Kampung Tanjung Labian di sini, pada Rabu baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, wanita warga Filipina itu ditikam di lengan kanan.
Ini kerana dia enggan memberi wang kepada suaminya yang dipercayai bertujuan untuk membeli dadah.
Akibat tikaman itu, mangsa yang berumur 21 tahun itu menerima tiga jahitan.
“Suspek yang juga suami mangsa berusia 25 tahun menyerah diri di Balai Polis Desa Kencana, jam 12.30 tengah hari tadi…
“Siasatan awal mendapati, pasangan berkenaan berkahwin sejak lima tahun lalu dan mempunyai dua anak berusia dua dan tiga tahun,” katanya dalan satu kenyataan media semalam.
Tambah Rohan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.