KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi ingatan bahawa usaha meningkatkan sokongan bukan Melayu mesti menjadi strategi paling penting bagi Barisan Nasional (BN).
“Kita mesti kembali kepada formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen. Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif…
“Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kedua, masyarakat bukan Melayu adalah bahagian penting dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik Malaysia. Sampai bila mereka harus mempunyai perwakilan sipi-sipi dalam kerajaan dan pentadbiran…
“Telah sampai masanya mereka menjadi sebahagian dari kerajaan dan menguruskan negeri dan negara ini secara bersama dengan Umno, parti terbesar orang Melayu.
“Terimalah hakikat bahawa hanya dengan Umno, kestabilan politik dan perkongsian kuasa itu boleh diuruskan dengan jayanya,” katanya lagi.
Menurut Khaled, selama 61 tahun pengundi bukan Melayu memberikan kepercayaan kepada BN dan sekarang adalah masa untuk kembali menyokong gabungan itu.





